DUNIA

PRU2025 Singapura: Tumpuan Terhadap Calon Bebas – Mampukah Mereka Cipta Kejutan?

01/05/2025 01:24 PM

Oleh Massita Ahmad

KUALA LUMPUR, 1 Mei (Bernama) -- Dua calon bebas bakal mencabar dominasi parti-parti politik utama dalam Pilihan Raya Umum Singapura 2025 (PRU2025), apabila masing-masing bertanding di Kawasan Undi Perseorangan (SMC) Mountbatten dan Radin Mas.

Jeremy Tan, 34, pengasas sebuah syarikat pemula niaga, akan menentang muka baharu dari Parti Tindakan Rakyat (PAP), Goh Sze Kee di Mountbatten SMC.

Menurut The Straits Times, “GE2025: Who’s standing where in Singapore’s general election?” halaman multimedia, Tan merupakan pengasas Tissue SG, syarikat yang mendakwa menjual tisu dan menyalurkan hasil jualan kepada badan kebajikan.

Pelanggan boleh menjejaki sumbangan itu melalui teknologi blok rantai.

Beliau juga aktif mempromosi penggunaan mata wang kripto, terutama Bitcoin.

Sebelum ini, Tan pernah mengusahakan syarikat pengedar produk penjagaan kulit jenama Paula’s Choice di Singapura selama enam tahun, sebelum jenama itu diambil alih oleh Unilever pada 2021.

Ini merupakan kali pertama beliau bertanding dalam pilihan raya.

Pencabarnya, Goh, ialah pengarah bersekutu di firma guaman AsiaLegal yang pakar dalam undang-undang maritim.

Beliau juga pernah memegang jawatan sebagai naib pengerusi Jawatankuasa Perundingan Warga Bukit Timah serta setiausaha cawangan PAP Bukit Timah.

Sementara itu, Darryl Lo, 28, calon bebas di Radin Mas SMC, bakal berhadapan cabaran sukar menentang calon berpengaruh PAP, Melvin Yong dan Kumar Appavoo dari Parti Perikatan Rakyat bagi Pembaharuan (PAR).

Lo, merupakan graduan jurusan undang-undang dari Universiti Pengurusan Singapura pada 2022.

Ini juga adalah penampilan pertamanya dalam arena politik dan beliau menyatakan hasrat untuk menjadi Ahli Parlimen sepenuh masa.

Melvin Yong, pencabarnya dari PAP, merupakan Penolong Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) dan bekas pegawai polis.

Dalam PRU2020, beliau memenangi 74 peratus undi (16,864 undi) menewaskan Kumar dari Parti Reformasi. Yong menyertai politik pada 2015.

Kumar pula merupakan ahli perniagaan, bekas bendahari Parti Reformasi dan pernah menganggotai jawatankuasa eksekutif pusat Parti Rakyat Singapura sebelum menyertai PAR.

Kedua-dua calon bebas, Tan dan Lo, mempunyai latar belakang dalam bidang teknologi, dan tidak mustahil mereka mampu mencipta kejutan dalam PRU kali ini.

Secara keseluruhan, pilihan raya kali ini menyaksikan 89 muka baharu, mengatasi 76 calon baharu pada 2020.

Sebanyak 211 calon akan bertanding dalam PRU2025 Singapura.

Jabatan Pilihan Raya Singapura (ELD) memaklumkan terdapat 2,758,846 pengundi berdaftar untuk pilihan raya yang dijadual berlangsung pada 3 Mei ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan