KUALA LUMPUR, 1 Mei (Bernama) -- Harga telur ayam di pasaran kekal stabil meskipun kerajaan mengumumkan pengurangan kadar subsidi daripada RM0.10 kepada RM0.05 sebiji yang berkuat kuasa hari ini, sebelum dihentikan sepenuhnya pada 1 Ogos nanti.
Tinjauan Bernama di ibu negara dan beberapa negeri mendapati para peniaga masih mengekalkan harga jualan bahan mentah itu dengan bekalan yang terus stabil tanpa berlaku pembelian panik.
Di KUALA LUMPUR, peniaga Lee Chun Sian, 48, berkata walaupun tanpa subsidi kerajaan, harga telur ayam boleh kekal atau menjadi lebih murah sekiranya bekalannya stabil di pasaran.
“Jadi pelanggan tidak perlu risau tentang kenaikan harga telur kerana setakat ini, peniaga masih menjual pada harga RM12.30 bagi gred A, RM9.30 (gred B), RM9 (gred C) dan RM8.10 untuk gred D,” katanya ketika ditemui di Kompleks Pasar Raya Raja Bot, hari ini.
Seorang lagi peniaga yang hanya mahu dikenali sebagai Madam Wong, 75, berkata pengguna tidak perlu bimbang kerana pemantauan sentiasa dijalankan oleh pihak penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi mengelakkan manipulasi harga oleh peniaga.
“Kami terima senarai harga baharu semalam dan akan bermesyuarat pada Selasa ini untuk membuat keputusan sama ada menaikkan harga atau tidak. Jika naik terlalu tinggi, kami bimbang pelanggan tidak dapat terima dan akan mengadu,” katanya.
Bagi seorang pengguna dari Shah Alam, Nurul Othman, 47, orang ramai masih boleh membeli telur pada harga lama dan dinasihatkan supaya tidak membuat pembelian panik.
“Pembelian paniklah yang biasanya menyebabkan kekurangan bekalan. Tak perlu panik, beli seperti biasa,” katanya.
Di PERLIS, seorang peniaga kedai runcit yang hanya ingin dikenali sebagai Seong, 51, berkata telur yang dijual di kedainya hari ini adalah daripada stok sedia ada, dan harga kekal tidak berubah.
“Ini bukan stok baharu. Jadi harga masih sama. Bila stok baharu sampai nanti, mungkin ada kenaikan sedikit bergantung kepada harga yang ditetapkan pembekal. Sekarang kita habiskan dahulu stok yang ada,” katanya.
Seorang pesara dari Arau, Abu Bakar Din, 54, pula berkata sebarang perubahan harga telur tidak menjejaskan perbelanjaannya kerana beliau merupakan penerima Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
“Barang naik atau turun, tetap kena beli juga. Lagi pula telur banyak digunakan dalam masakan. Kalau naik sikit, tak jadi masalah. Saya pun penerima SARA, boleh beli guna kad pengenalan, jadi tak terasa sangat,” katanya.
Di PERAK, Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi, Hal Ehwal Pengguna dan Kampung Baru Cina Woo Kah Leong berkata pemantauan dan penguatkuasaan akan dilakukan KPDN negeri sekiranya berlaku kenaikan harga yang melampau.
Beliau turut menyarankan pengguna mendapatkan telur ayam dan keperluan lain melalui Program Jualan Rahmah MADANI, yang menawarkan harga lebih rendah termasuk telur gred C pada RM6 sepapan.
Sementara itu, di KELANTAN, peniaga roti canai Fauzi Ramli, 32, berkata harga telur masih kekal dan berharap pemborong tidak mengambil kesempatan menaikkan harga secara berlebihan susulan pengurangan subsidi.
“Sebelum ini harga telur turun, jadi ia membantu kurangkan kos operasi saya. Saya harap penurunan harga ini dapat dikekalkan dan pihak berwajib perlu terus membuat pemantauan rapi,” katanya.
Di SABAH, penyelia pasar raya Mohd Zulkifli Razak, 43, berkata impak pengurangan subsidi di Kota Kinabalu masih belum dirasai kerana pasar raya masih menjual stok sedia ada, namun kesannya dijangka mula dirasai apabila stok baharu diperoleh dalam tempoh satu hingga dua minggu lagi.
“Apabila stok baharu sampai nanti, kita akan lihat harga yang ditetapkan pembekal sebelum buat keputusan harga jualan. Kami jangka ada kenaikan, tapi harap dapat dikawal kerana kami juga mahu bantu pelanggan,” katanya.
Pemilik kedai runcit di Tambunan, Karim Shah Abdullah, 52, berkata pemantauan perlu dibuat ke atas bekalan telur ayam di pasaran kerana ia adalah faktor terbesar yang menentukan harga bahan mentah itu terutamanya di kawasan pedalaman.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial