KUALA LUMPUR, 1 Mei (Bernama) -- Tiga rumah yang didiami 12 penghuni musnah dalam kejadian kebakaran di Pintasan Raja Muda Musa 4, Kampung Baru, di sini pagi tadi.
Bagaimanapun, kesemua penghuni sempat keluar menyelamatkan diri ketika kejadian.
Komander Operasi Penolong Kanan Penguasa Bomba (PKPgB) Mohamad Riduan Akhyar berkata Pusat Gerakan Operasi (PGO) Kuala Lumpur menerima panggilan kecemasan kebakaran pada 9.39 pagi sebelum Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menghantar jentera ke lokasi kejadian.
"Pasukan bomba tiba pada pukul 9.50 pagi dan mendapati tiga rumah separa kekal seluas kira-kira 40 x 70 kaki persegi terlibat dalam kebakaran,"
“Kebakaran itu menyebabkan dua unit kediaman musnah sepenuhnya, manakala satu lagi musnah sebanyak 40 peratus, selain turut memusnahkan tiga motosikal,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata kebakaran berjaya dikawal pada 10.13 pagi dan Unit Forensik JBPM masih menyiasat punca kebakaran dan jumlah kerugian.
Seorang saksi, Muhamad Uthman Hasni, 33, berkata beliau yang dalam perjalanan ke sebuah warung berdekatan terlihat kepulan asap dan api marak dari rumah berkenaan sekitar 9.35 pagi.
“Saya terus datang ke sini dan nampak rumah pertama di bahagian hadapan sudah terbakar, manakala api sedang merebak ke rumah kedua dan ketiga di bahagian belakang.
“Saya menghubungi pihak polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi dan sebaik bomba tiba, saya cuba membantu memadamkan api agar tidak merebak sepenuhnya ke rumah ketiga,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Sementara itu, seorang mangsa Azmil Nurmin, 24, berkata ketika kejadian berlaku, beliau dan abangnya sedang tidur di bilik masing-masing sebelum dikejutkan oleh ibu bapa mereka yang memaklumkan mengenai kebakaran berkenaan.
Menurut pemandu e-hailing itu, kebakaran tersebut mengakibatkan rumah mereka musnah kira-kira 40 peratus.
“Waktu itu, mak dan ayah sedang menyiram tanaman di luar rumah sebelum jiran kami yang menyewa rumah pertama yang mula-mula terbakar, datang memaklumkan kejadian.
“Mereka segera mengejutkan kami. Kami sempat mengambil dokumen-dokumen penting sementara saya dan abang membawa keluar kereta serta motosikal. Saya bersyukur kerana kami semua selamat. Walaupun ada barangan yang tidak sempat diselamatkan, nyawa lebih utama,” katanya ketika ditemui di sini.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Titiwangsa merangkap Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani turut melawat mangsa di lokasi kejadian dan menyampaikan sumbangan.
Ketika ditemui, beliau berkata pihaknya akan berusaha membantu mendapatkan penempatan sementara untuk semua mangsa yang merupakan penyewa di rumah-rumah terlibat.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial