PUTRAJAYA, 2 Mei 2 (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini dianugerahkan Order of Independence, anugerah awam tertinggi Kosovo oleh presiden negara itu Dr Vjosa Osmani Sadriu dalam satu majlis di Kompleks Perdana Putra di sini.
Terdahulu Osmani yang dalam rangka lawatan rasmi empat hari ke Malaysia diberi sambutan rasmi, sebelum memeriksa kawalan kehormatan oleh tiga pegawai dan 103 anggota dari Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (Istiadat) yang diketuai Mejar Muhammad Fikri Senan.
Anugerah itu merupakan pengiktirafan tertinggi daripada kerajaan kepada individu yang telah memainkan peranan penting dalam menyokong kemerdekaan negara berkenaan, menurut Pejabat Perdana Menteri (PMO) dalam kenyataan.
“Penganugerahan itu mengiktiraf sokongan padu Malaysia terhadap pembangunan negara dan pasca kemerdekaan Kosovo, serta komitmen teguh Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk mengukuhkan hubungan dua hala antara kedua-dua negara,” menurut kenyataan itu.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, diplomat asing, dan pegawai kanan kerajaan turut menghadiri majlis penganugerahan itu.
Kerajaan Kosovo juga akan menyampaikan anugerah itu kepada bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Badawi, sebagai mengiktiraf sumbangan Allahyarham semasa detik penting dalam sejarah Kosovo.
“Di bawah pentadbirannya Malaysia menjadi antara negara terawal mengiktiraf kemerdekaan Kosovo pada 30 Okt 2008,” menurut kenyataan itu.
Osmani tiba di Malaysia semalam, lawatan pertamanya ke Malaysia sejak memegang jawatan sebagai presiden pada 4 April 2021.
Malaysia secara rasmi mengiktiraf Kosovo pada 30 Okt 2008, menjadi antara negara Asia terawal berbuat demikian. Hubungan diplomatik terjalin secara rasmi pada 18 Mac 2011.
Pada 2024, nilai perdagangan dua hala antara Malaysia dan Kosovo mencecah RM28.55 juta (USD6 juta) dengan eksport negara ke republik itu sebanyak RM25.92 juta (USD5.5 juta) dan import RM2.63 juta (USD550,000).
Eksport utama Malaysia termasuk minyak sawit, produk elektrik dan elektronik serta barangan perkilangan manakala import dari Kosovo kebanyakannya terdiri daripada bahan mentah dan batu permata.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial