JENAYAH & MAHKAMAH

Kanak-Kanak Lelaki Cedera Parah Ditikam Dua Kali Oleh Bapa Guna Pisau Pemotong Sayur

02/05/2025 06:34 PM

KOTA BHARU, 2 Mei (Bernama) -- Seorang kanak-kanak lelaki 11 tahun cedera parah selepas ditikam bapa kandungnya di Kampung Banggol Che Dol, Pohon Tanjung, Pasir Mas, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas ACP Kama Azural Mohamed berkata kejadian dilaporkan berlaku kira-kira 9 pagi dan pihak polis menerima aduan daripada orang awam pada 9.08 pagi.

Beliau berkata hasil siasatan mendapati, suspek seorang lelaki tempatan yang juga bapa kandung mangsa telah menikam mangsa dua kali di bahagian dada dan sekali di perut menggunakan sebilah pisau pemotong sayur.

“Kejadian dipercayai berpunca daripada krisis rumah tangga yang dihadapi suspek yang kini dalam proses penceraian kali ketiga dengan isterinya. Prosiding perceraian dijadualkan 13 Mei ini di Mahkamah Syariah Tumpat.

“Polis turut memaklumkan bahawa suspek dipercayai menghidapi masalah mental dan telah menerima rawatan psikiatrik sejak tahun 2008,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kama Azural berkata mangsa kini sedang menerima rawatan di Hospital Pasir Mas dan akan dirujuk ke Hospital Raja Perempuan Zainab II di Kota Bharu bagi rawatan lanjut.

Beliau berkata suspek telah ditahan dan kini berada di Lokap Balai Polis Pasir Mas, manakala permohonan reman akan dibuat di Mahkamah Majistret Kota Bharu bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan atas kesalahan cubaan membunuh.

“Pihak polis menyeru orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan kes berkenaan.

“Sebarang maklumat berkaitan kes ini, boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat ASP Wan Noraida Wan Hamat di talian 09-7932222,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan