EKONOMI

MARC Jangka KDNK Suku Pertama Malaysia Tumbuh 4.4 Peratus

02/05/2025 08:16 PM

KUALA LUMPUR, 2 Mei (Bernama) -- Ekonomi Malaysia dijangka menyederhana kepada 4.4 peratus pada suku pertama 2025 (1Q2025), berbanding 5.0 peratus pada suku sebelumnya, menurut Malaysian Rating Corp Bhd (MARC).

Ini disebabkan oleh penurunan dalam output sektor perlombongan dan pembuatan, walaupun permintaan domestik serta sektor perkhidmatan dan pembinaan kekal berdaya tahan, menurut agensi penarafan itu hari ini.

MARC berkata inflasi kekal rendah pada kadar 1.4 peratus pada Mac, namun risiko peningkatan mungkin berlaku akibat kenaikan gaji minimum yang dilaksanakan baru-baru ini dan rasionalisasi subsidi bahan api RON95 yang akan datang.

“Walaupun berdepan ketidaktentuan perdagangan, eksport meningkat sebanyak 6.8 peratus pada Mac, diterajui oleh barangan elektrik dan elektronik, minyak sawit serta jentera terutamanya ke pasaran Amerika Syarikat (AS), Hong Kong dan Singapura.

“Bagaimanapun, pendedahan kepada tarif baharu AS akan menimbulkan risiko, walaupun negara-negara yang terjejas berkemungkinan dapat menyesuaikan diri melalui kepelbagaian rantaian bekalan yang berterusan,” katanya.

MARC berkata bahawa ringgit melantun semula pada April selepas melemah susulan pengumuman tarif oleh Donald Trump, tetapi mata wang itu dibantu oleh penangguhan tarif selama 90 hari dan kelemahan dolar AS secara menyeluruh.

“Perubahan sentimen pelabur, disokong oleh pengukuhan mata wang serantau dan pengurangan permintaan terhadap dolar AS, turut mendorong aliran masuk modal yang diperbaharui.

“Pelabur asing telah mengeluarkan RM4.7 bilion daripada ekuiti, namun ia diimbangi sepenuhnya oleh peningkatan pembelian di pasaran bon dengan mencatat aliran masuk bersih sebanyak RM2.8 bilion dalam keseluruhan pasaran modal,” tambahnya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan