Oleh Mikhail Raj Abdullah
KUALA LUMPUR, 2 Mei (Bernama) -- Delegasi berprofil tinggi dari Jepun akan mengunjungi Malaysia minggu depan untuk membincangkan kerjasama lebih mendalam dalam Komuniti Pelepasan Sifar Asia (AZEC) bagi mencapai sasaran penyahkarbonan, pertumbuhan ekonomi dan keselamatan tenaga.
Duta Besar Jepun ke Malaysia, Noriyuki Shikata, berkata pengukuhan kerjasama dengan Malaysia penting dalam menggerakkan tindakan bersama untuk membangunkan tenaga hijau dan teknologi mampan, secara dua hala, serantau dan global.
Kedatangan delegasi itu, yang akan berada di sini dari 5 hingga 6 Mei, adalah susulan kepada lawatan Perdana Menteri Jepun Shigeru Ishiba ke Malaysia pada Januari tahun ini, yang mana beliau dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersetuju untuk mengukuhkan kerjasama AZEC.
Rombongan itu akan diketuai oleh bekas Perdana Menteri Jepun Fumio Kishida – utusan khas Perdana Menteri Jepun yang juga perancang AZEC dan akan diiringi bekas menteri daripada Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri Jepun dan Kementerian Pendidikan, Kebudayaan, Sukan, Sains dan Teknologi.
Malaysia, selaku Pengerusi ASEAN, akan anjur bersama mesyuarat menteri-menteri dan pemimpin AZEC dengan Jepun
“Sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini, Malaysia akan memainkan peranan penting pada Oktober ini menganjurkan mesyuarat menteri dan pemimpin AZEC bersama-sama dengan Jepun di sini, menunjukkan kepentingannya kepada inisiatif itu,” kata Shikata kepada Bernama menerusi satu temu bual hari ini.
"Kami berhasrat untuk menjenamakan 2025 sebagai 'Tahun AZEC', memangkin projek perdana tambahan yang boleh menjadi panduan bagi seluruh rantau ini," katanya.
AZEC, yang terdiri daripada 11 negara, iaitu Australia, Brunei Darussalam, Kemboja, Indonesia, Jepun, Laos, Malaysia, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam, menyasar untuk mencapai neutraliti karbon dengan kepakaran teknologi Jepun.
Mengetengahkan visi AZEC Jepun dan kepentingannya kepada Malaysia, Shikata berkata Putrajaya juga boleh memanfaatkan kepakaran teknologi bersih Jepun.
Ini adalah langkah strategik yang akan membantu memajukan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR), yang bertujuan untuk memudahkan peralihan Malaysia kepada sistem tenaga rendah karbon dan mampan.
Beliau berkata cadangan untuk Malaysia dan Jepun bekerjasama rapat dalam tenaga hijau dan teknologi mampan adalah relevan memandangkan Malaysia bakal menjadi hos kepada jumlah pusat data terbesar di rantau ini.
Menurutnya, walaupun kebanyakan negara di dunia ini bergelut dengan usaha untuk mencapai penyahkarbonan, pertumbuhan dan keselamatan tenaga, cabaran itu amat meruncing dalam ekonomi Asia yang dinamik.
“Itulah antara sebabnya mengapa Jepun mencadangkan rangka kerja AZEC pada 2022 untuk menggerakkan tindakan kolektif,” katanya.
Komitmen Neutral Karbon Wajarkan Malaysia Sebagai Rakan Jepun
Shikata berkata pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia yang kukuh serta komitmen terhadap keneutralan karbon menjelang 2050 mewajarkan Malaysia sebagai rakan yang amat diperlukan Jepun.
Walaupun kaya dengan gas asli, Malaysia juga bersedia untuk menerajui projek pemerangkapan dan penyimpanan karbon (CCS) serta hidrogen hijau yang telah menjadi model kepada anggota AZEC yang lain, katanya.
Beliau memuji Malaysia atas sumbangan kepada inisiatif tenaga hijau Jepun, sebagai pengeksport gas asli cecair (LNG) kedua terbesar ke negara matahari terbit itu, selepas Australia, selama lebih 30 tahun.
Bagi mencapai daya maju komersial, semakin banyak syarikat Jepun dengan teknologi hijau termaju berminat untuk melaksanakan teknologi tersebut di Malaysia dan negara lain di rantau ini dan seterusnya untuk meraih kelebihan dari segi kos.
Mengulas lanjut mengenai bidang dua hala utama untuk memajukan AZEC, beliau berkata bagi CCS, pembentukan struktur geologi bawah permukaan Malaysia amat sesuai untuk penyimpanan CO₂ secara bawah tanah dan boleh memanfaatkan infrastruktur gas asli sedia ada, menjadikan negara ini rakan penting bagi Jepun.
Beliau berkata kuasa hidro kos rendah yang banyak di Sarawak telah menarik pelabur dan membolehkan pembangunan hidrogen hijau.
“Jepun juga bersedia untuk menyokong kesambungan Sarawak-Semenanjung di bawah inisiatif Grid Tenaga ASEAN,” katanya.
Beliau berkata banyak usaha niaga utama disusun sebagai usaha sama antara firma Jepun dan Petronas atau Tenaga Nasional Bhd, menggabungkan teknologi dengan kepintaran tempatan.
“Kerjasama sedemikian meletakkan Malaysia untuk sedia menjalinkan usaha sama dengan rakan AZEC yang lain, meningkatkan manfaat bagi seluruh masyarakat.
“Portfolio maju Malaysia menjadi penanda aras serantau, mencerminkan daya tarikan negara ini kepada pelabur,” katanya.
Dalam meletakkan teknologi pesat membangun dalam aliran utama, beliau berkata projek kecekapan tenaga boleh disepadukan dalam kehidupan seharian tanpa berlengah, dan memandangkan firma Jepun memiliki kelebihan perbandingan dalam bidang ini justeru, Jepun berkedudukan baik untuk menyokong usaha Malaysia.
Chitose Group Jepun Laksana Usaha Sama Penghasilan Alga di Sarawak untuk SAF
Beliau berkata kemudahan pemerangkapan karbon mikroalga di Sarawak untuk menghasilkan alga bagi pengeluaran bahan api penerbangan mampan (SAF) telah melibatkan Chitose Group dari Jepun dalam projek yang mewujudkan pekerjaan baharu, memacu pertumbuhan dan menyumbang kepada agenda tenaga hijau negeri.
Mengenai kenderaan hibrid -- satu kepakaran Jepun yang menawarkan pengurangan karbon dioksida (CO2) sepanjang kitaran hayat yang lebih besar berbanding kenderaan elektrik bateri, beliau berkata penggunaan meluas model Perodua yang dibangunkan dengan kepakaran Jepun, bersama-sama dengan kenderaan hibrid Toyota dan Honda, boleh memacu pertumbuhan ekonomi dan usaha penyahkarbonan di samping memelihara ekosistem automotif sedia ada di Malaysia.
“Hidrogen, ammonia dan CCS kini memasuki penggunaan skala penuh, memanfaatkan kelebihan teknologi Jepun, itu sebabnya kedua-dua negara ini perlu bersama-sama memacu fasa akan datang untuk meningkatkan bekalan dan permintaan," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial