AM

Pelajar Lebih Bersedia Rancang Perjalanan Selepas SPM Menerusi Kem ACE Finco

02/05/2025 09:23 PM

KUALA LUMPUR, 2 Mei (Bernama) -- Susulan kejayaan penganjuran Kem Aspire Career and Education (ACE) tahun lepas, yang menyaksikan alumni pelajar terlibat mempraktikkan kemahiran dipelajari, Financial Industry Collective Outreach (FINCO) meneruskan pelaksanaan kem itu tahun ini, dengan penyertaan 77 pelajar lepasan tingkatan lima daripada seluruh Malaysia.

Kem tiga hari bermula 15 April di Pusat Belia Antarabangsa (IYC) di sini, bertujuan membantu pelajar mengembangkan jaringan profesional mereka, menetapkan matlamat jangka pendek dan jangka panjang selepas pendidikan menengah, serta memperoleh pengetahuan penting dan kemahiran diperlukan bagi mencapai hasrat pendidikan dan matlamat kerjaya diimpikan.

Di akhir kem itu, 96 peratus pelajar dapat menyatakan sekurang-kurangnya dua langkah seterusnya untuk mencapai cita-cita mereka selepas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), sementara 95 peratus daripada mereka dapat menerangkan sekurang-kurangnya satu kemahiran diperlukan bagi mencapai impian itu. 

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) FINCO Clare Walker menekankan kepentingan mewujudkan peluang membina kemahiran praktikal kepada pelajar yang dalam peralihan daripada sekolah ke universiti atau tempat kerja. 

“Walaupun mengenal pasti kemahiran berkaitan adalah penting, peluang untuk mempraktikannya dapat membina keyakinan untuk berhadapan cabaran dunia sebenar. Kem ini direka untuk memberi pengalaman penting itu secara amali,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pelajar yang memahami bagaimana matlamat jangka pendek berkait dengan matlamat jangka panjang karier mereka, dan mempunyai pengetahuan untuk membuat keputusan berhubung masa hadapan, akan lebih bersedia menghadapi pasaran kerja yang berubah dengan pantas.

Selain terlibat dalam simulasi temu duga dan sesi job shadowing, pelajar juga berpeluang mendapatkan lebih banyak pandangan berhubung kerjaya pilihan mereka, daripada 75 sukarelawan yang merupakan golongan profesional dalam seni bina, penerbangan, kewangan, perubatan, teknologi dan industri lain.

Terdapat juga sesi perbincangan dengan penceramah jemputan, termasuk CEO Malayan Banking Bhd (Maybank) Datuk Khairussaleh Ramli, Ketua Pegawai Sumber Manusia dan Organisasi Generali Insurance Malaysia Bhd Lee Jo Wen dan Ketua Pegawai Pemasaran Manulife Insurance Bhd Marilyn Wang, yang memberi pelajar gambaran lebih jelas mengenai kemahiran insaniah dimahukan majikan, dan apa yang diperhatikan pasukan pengambilan semasa menghadiri sesi temu duga.

Khairussaleh berkata menjadi satu penghormatan untuk dapat bercakap di kem itu dan berkongsi pandangan tentang aspirasi kerjaya serta pengalaman perjalanan profesional beliau, yang diharapkan dapat memberi inspirasi kepada pelajar untuk mengejar cita-cita mereka dengan berani dan jelas.

“Saya bersyukur kerana dapat berkongsi hal ini dengan pelajar, yang secara positif sedang membentuk masa depan mereka,” katanya.

Sukarelawan industri kewangan yang mendaftar sebagai mentor akan bersama pelajar sepanjang tahun, memberikan nasihat dan bimbingan berterus semasa mereka meneruskan pendidikan atau memasuki laluan kerjaya.

Pengerusi FINCO Tan Sri Azman Hashim berkata beliau melihat peningkatan dalam bilangan sukarelawan industri kewangan pada Kem ACE tahun ini, sebagai sesuatu yang menggalakkan.

“Ini menunjukkan pengiktirafan peranan kem itu dalam membangunkan pemimpin masa hadapan dan kebolehannya untuk menangani jurang kemahiran antara sekolah dan tenaga kerja dengan berkesan,” katanya. 

Tahun ini, kem itu mengalu-alukan sukarelawan industri kewangan daripada AmBank (M) Bhd, BNP Paribas Malaysia Bhd, CIMB Bank Bhd, Deutsche Bank Malaysia Bhd, Generali Life Insurance Malaysia Bhd, Hannover Rueck SE, Manulife Insurance Bhd, Maybank dan Public Investment Bank Bhd.

Sementara itu, seorang peserta Nur Izzah Zulfah daripada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ibrahim (1), Kelantan berkata sesi simulasi temu duga bersama mentor telah membantu membina keyakinan, meningkatkan kemahiran komunikasi dan menyediakannya untuk berhadapan situasi kehidupan sebenar dalam cara menyeronokkan.

Nur Syazwina Syazni daripada SMK Dato' Mahmud Paduka Raja 1, Kelantan pula berkata mentornya membantu membetulkan kesilapan dan berkongsi petua serta memberi maklum balas yang boleh dimanfaatkan dalam permohonannya pada masa depan.

Muhammad Aziz Akhtar Alwi yang meredah perjalanan daripada SMK Kota Samarahan, Sarawak ke Kuala Lumpur berkata beliau memperoleh kemahiran dan pandangan berharga menerusi penyertaan kem tersebut.

“Kem ini memberi peluang kepada kami untuk bersuara dan melontarkan idea. Ia juga mengajar kami untuk merebut peluang dalam dunia sebenar,” katanya. 

Kem ACE merupakan program di bawah tunggak Aspirasi Kehidupan FINCO. Di bawah asas itu, FINCO telah melibatkan lebih 27,000 pelajar sekolah menengah daripada seluruh Malaysia sejak penubuhannya pada 2017.

Peserta Kem ACE merupakan lepasan SPM yang membuat permohonan selepas menyertai bengkel lepasan SPM FINCO dan bengkel kemahiran lain.

Bengkel tersebut dibawakan ke sekolah dengan pengambilan lebih ramai kepada pelajar B40 sebagai sebahagian daripada misi organisasi bukan berasaskan keuntungan itu, menawarkan golongan muda akses inklusif kepada inisiatif pendidikan berkualiti tinggi.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan