KOTA KINABALU, 2 Mei (Bernama) -- Pertubuhan Progresif Kinabalu Bersatu (UPKO) komited mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kadamaian pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17, selain menyasarkan untuk menambah kemenangan di beberapa kerusi lain.
Presidennya Datuk Ewon Benedick berkata parti itu akan terus bersiap siaga menghadapi pilihan raya berkenaan sebagai komponen dalam Pakatan Harapan (PH), sambil rundingan dalaman bersama PH Sabah serta perbincangan tidak rasmi dengan gabungan lain diteruskan.
"Keputusan kita mesti berpandukan tujuan dan matlamat penubuhan parti, selain ditunjangi pertimbangan rasional dan strategik demi masa depan Sabah dan rakyatnya," katanya pada majlis makan malam sempena sambutan ulang tahun ke-31 UPKO di sini malam ini.
Ewon yang juga Pengerusi PH Sabah berkata selepas 62 tahun menyertai Persekutuan Malaysia, rakyat Sabah seharusnya menilai kemajuan dari segi infrastruktur, ekonomi, tadbir urus dan kerjasama politik, selain memperkukuh sikap dan nilai kepimpinan negeri.
Beliau sebelum ini memenangi kerusi DUN Kadamaian dalam PRN lalu dengan majoriti 3,459 undi dalam saingan enam penjuru.
Mengulas lanjut, Ewon berkata PRN Sabah kali ini wajar dijadikan medan untuk mengukur tahap perpaduan rakyat serta kerjasama antara parti politik di negeri itu.
"UPKO bersedia bekerjasama dengan mana-mana parti yang berkongsi wawasan dan aspirasi sama, sama ada parti tempatan mahupun nasional," katanya.
Beliau menegaskan penyertaan Sabah dalam Persekutuan Malaysia sejak 1963 perlu diterjemahkan melalui kerjasama erat antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan, selaras dengan aspirasi Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Menurutnya pembinaan negara yang lebih baik bermula dengan memperkukuh rasa memiliki atau sense of belonging rakyat Sabah terhadap kerajaan negeri mereka sendiri.
"Ini termasuk memperkasa komposisi perjawatan perkhidmatan awam negeri, pelantikan dalam agensi dan badan berkanun, pemberian biasiswa, penambahbaikan sistem penyampaian kerajaan serta hubungan antara agama dan hal berkaitan undang-undang negeri," katanya.
Justeru, Ewon berkata perkara itu memerlukan kesatuan politik dan pendekatan konstruktif dalam kalangan semua parti di Sabah, bukannya konfrontasi yang hanya merugikan masa depan negeri.
"Apa yang penting ialah memastikan perpaduan besar politik Sabah menjadi aset dalam rundingan berkaitan isu-isu penting untuk rakyat, sama ada berkait MA63 atau perancangan pembangunan nasional," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial