Oleh Shakir Husain
NEW DELHI, 3 Mei (Bernama) -- Satu kumpulan kebudayaan Malaysia memukau penonton dengan persembahan menakjubkan pada Jumaat malam di acara media hiburan antarabangsa di bandar Mumbai, India.
Kumpulan seramai 18 orang itu terdiri daripada pelajar Malaysia dari Universiti Sains Malaysia (USM) yang sedang mengikuti pengajian perubatan di Universiti KLE di Belgaum, negeri Karnataka di selatan India.
Persembahan pada Jumaat di pusat beli-belah Phoenix Palladium itu akan disusuli dengan satu lagi persembahan di Jio World Convention Centre pada Sabtu.
Persembahan seni tradisional Melayu yang diketuai oleh Muhammad Husnul Hakimi Idris itu diadakan hasil kerjasama antara Konsulat Jeneral Malaysia di Mumbai dan Perbadanan Pembangunan Filem Kebangsaan (NFDC) India, kata Konsul Besar Ahmad Zuwairi Yusoff kepada Bernama.
Ia diadakan sempena Sidang Kemuncak Audio Visual dan Hiburan Dunia (WAVES) selama empat hari yang dirasmikan oleh Perdana Menteri India Narendra Modi pada Khamis.
“Pertukaran budaya antara Malaysia dan India ini akan memupuk kerjasama dan persahabatan dua hala yang lebih erat, khususnya dalam bidang kebudayaan dan kesenian. Penyertaan Malaysia dalam pertunjukan kebudayaan WAVES juga merupakan sebahagian daripada usaha mempromosikan Tahun Melawat Malaysia 2026,” kata Ahmad.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial