Oleh Yasmin Ahmad Zukiman dan Muhammad Faiz Baharin
KUALA LUMPUR, 3 Mei (Bernama) -- Kerajaan negeri Sarawak seharusnya menghormati perjanjian bersama kerajaan Persekutuan berdasarkan Akta Kemajuan Petroleum 1974 (PDA 1974) dan bukannya mewujudkan pertikaian melibatkan operasi Petronas Carigali Sdn Bhd (PCSB) di Miri Crude Oil Terminal.
Geostrategis Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara Dr Azmi Hassan berkata sebarang pertikaian yang dibangkitkan hanya akan merugikan semua pihak terlibat iaitu kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri Sarawak, Petroliam Nasional Bhd (Petronas) dan Petroleum Sarawak Bhd (Petros).
"Petronas itu sudah berpuluh tahun di Sarawak, mengapa kini mereka 'diusik', walhal sudah jelas apa yang termaktub di dalam PDA itu, bila sudah diusik, ini menimbulkan masalah perundangan dan dalam hal ini, ia membabitkan kepercayaan pelabur luar.
"Ia menggugat persepsi baik pelabur-pelabur asing dan implikasinya sekarang kita tahu (dilaporkan) firma minyak Amerika Syarikat ConocoPhillips mengumumkan menarik diri daripada mengendalikan projek di Sarawak," kata Felo Majlis Profesor Negara itu.
Media sebelum ini melaporkan ConocoPhillips menarik diri daripada mengendalikan projek minyak dan gas laut dalam Salam-Patawali di luar pesisir Sarawak bernilai kira-kira RM13.7 bilion (USD3.13 bilion).
Laporan itu juga mendakwa keputusan penarikan diri tersebut didorong ketidaktentuan peraturan yang berpunca daripada pertikaian berterusan antara Petronas dan Kerajaan Negeri Sarawak.
Mengulas lanjut, Azmi berkata sekiranya isu berkenaan dibiarkan berlarutan tanpa ada penyelesaian tuntas, ia berisiko memberi 'kerugian lebih besar’ kepada negara dengan kehilangan potensi kerjasama bersama gergasi industri seperti Shell serta ExxonMobil dalam sektor minyak dan gas di Sarawak.
Semalam Petronas mengesahkan kepada Bernama bahawa anak syarikatnya PCSB menerima notis daripada Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak pada Rabu lepas, berkaitan pemprosesan dan pengedaran gas.
Syarikat minyak negara itu memberitahu Bernama bahawa PCSB diberi kuasa mengikut undang-undang di bawah PDA 1974 untuk menjalankan aktivitinya serta mematuhi semua undang-undang yang terpakai.
Sementara itu Penganalisis Sosiopolitik Universiti Malaya Datuk Prof Dr Awang Azman Awang Pawi berkata Kerajaan Negeri Sarawak jelas menuntut tafsiran yang berbeza berdasarkan hak negeri seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) meskipun PDA 1974 kekal diiktiraf sebagai Akta Persekutuan.
Beliau berkata tiada pelanggaran formal berlaku setakat ini kerana tiada keputusan mahkamah atau pengumuman pembatalan perjanjian bersama.
“Namun notis dan tindakan penguatkuasaan oleh Sarawak merupakan cabaran langsung kepada penguasaan eksklusif Petronas di bawah PDA 1974 yang menjadi asas kepada model industri minyak dan gas negara selama hampir 50 tahun,” katanya.
Beliau berkata isu terbabit bukan hanya soal melibatkan undang-undang, tetapi ujian kepada federalisme Malaysia khususnya dalam pengurusan sumber asli yang memperlihatkan perbezaan tafsiran terhadap PDA 1974, MA63 dan Ordinan Perlombongan Minyak 1958 (OMO 1958).
Awang Azman berkata perkara ini sekiranya tidak ditangani dengan bijak melalui rundingan bersama atau semakan perundangan, boleh membawa kepada krisis kepercayaan antara kerajaan pusat dan negeri, memberi kesan negatif kepada pelaburan, sekali gus melemahkan strategi tenaga nasional.
Pada masa sama beliau berkata sebarang gangguan kepada operasi cari gali Petronas di Sarawak akan mendatangkan kesan yang lebih besar kepada industri minyak dan gas negara termasuk gangguan rantaian bekalan nasional dan global.
“Ini kerana Sarawak merupakan pengeluar utama gas asli cecair (LNG) Malaysia, dan sebarang gangguan kepada operasi Petronas di negeri itu boleh menjejaskan eksport dan komitmen kontrak jangka panjang seperti ke Jepun dan Korea,” katanya.
Beliau berkata konflik terbuka antara kerajaan negeri dan Petronas boleh menyebabkan pelabur antarabangsa melihat Malaysia sebagai destinasi pelaburan yang berisiko dari segi dasar dan undang-undang.
“Selain itu, ia mewujudkan potensi dualisme kuasa. Jika Petronas mematuhi undang-undang Persekutuan manakala Sarawak menguatkuasakan undang-undang negeri, ini mencipta ketidakpastian perundangan yang memerlukan penyelesaian perundangan persekutuan-negeri atau tindakan mahkamah,” katanya.
Awang Azman berkata konflik itu juga boleh merencatkan rundingan kerjasama antara Petros dan Petronas, sekali gus melambatkan pelaburan strategik seperti pembangunan medan gas baharu dan infrastruktur tenaga.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial