AM

PMR 2025 Sabah: Pelbagai Bantuan Atasi Kemiskinan Disediakan - Ewon

03/05/2025 06:30 PM

KOTA KINABALU, 3 Mei (Bernama) -- Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 Sabah mampu memainkan peranan sebagai platform untuk rakyat negeri ini mendapatkan pelbagai peluang dan bantuan bagi keluar daripada kemiskinan.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata antaranya bantuan dalam bidang keusahawanan, koperasi dan peluang pekerjaan yang sedia untuk direbut rakyat Sabah.

Beliau berkata bertepatan tema PMR 2025 Sabah iaitu “Menoktahkan Kemiskinan Melalui Keusahawanan”, kerajaan komited menangani kemiskinan secara mampan melalui pendekatan memperkasakan rakyat dengan keusahawanan sebagai mekanisme yang membuka peluang pendapatan dan pekerjaan terutama bagi komuniti luar bandar serta B40.

“Saya yakin orang ramai boleh dapatkan perkhidmatan yang bersesuaian dengan datang ke PMR ini. Apabila usahawan datang ke PMR nanti, mereka boleh dapatkan bantuan, geran dan pembiayaan untuk mengembangkan perniagaan seterusnya menyediakan banyak peluang pekerjaan.

“Yakinlah bahawa kemiskinan yang menghantui kita di Sabah dapat dinoktahkan, justeru bukan sekadar mengunjungi PMR untuk suka-suka, tetapi manfaatkanlah apa yang diperlukan untuk kita selesaikan kemiskinan, seterusnya meningkatkan aktiviti ekonomi,” katanya dalam temu bual dengan Stesen Radio Sabah FM di sini hari ini.

PMR 2025 Sabah dijadual berlangsung di Dataran Majlis Perbandaran Tawau selama tiga hari bermula 9 Mei dengan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) sebagai kementerian peneraju dan kerjasama Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) serta kerajaan Sabah sebagai tuan rumah.

Majlis Penutupan PMR 2025 Sabah bakal disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2 petang, 11 Mei yang turut dihadiri barisan kepimpinan tertinggi Kerajaan Persekutuan dan negeri.

Ewon berkata selain 36 reruai pameran kementerian dan agensi, turut diadakan program satelit PMR 2025 Sabah antaranya program gotong-royong di Kampung Mentadak Baru, Pulau Sebatik, Tawau pada 7 Mei serta Program Halal Success KUSKOP yang akan diadakan di Kolej Komuniti Tawau pada 8 dan 9 Mei.

Beliau berkata pada 8 Mei turut diadakan Program Bicara Ilmu bersempena Program Turun Padang Ke Arah Memperkasakan Koperasi 2025 yang akan membincangkan topik “Menoktahkan Kemiskinan Melalui Model Perniagaan Koperasi".

“Aktiviti gotong-royong turut akan diadakan di PPR Batu 8, Tawau pada 11 Mei melibatkan kerja membaik pulih gelanggang futsal dan pemasangan panel solar oleh Persatuan Kontraktor Tawau di kawasan perumahan yang menempatkan 900 unit kediaman dengan hampir 4,500 penduduk,” katanya.

Ewon berkata turut ditampilkan, Showcase Satu Daerah Satu Industri (SDSI) yang merupakan inisiatif strategik pembangunan ekonomi tempatan dengan tumpuan kepada pemerkasaan potensi produk yang unik di setiap daerah sejak 2019.

Beliau berkata SDSI di Kudat berjaya meningkatkan purata jualan tahunan industri tenunan tradisional sebanyak 28.7 peratus, daripada RM45,000 kepada RM57,915 dalam tempoh enam bulan selepas penglibatan dalam program itu.

“Di Ranau pula, program SDSI telah membangunkan industri madu kelulut dengan peningkatan purata jualan tahunan sebanyak 25.2 peratus, daripada RM38,500 kepada RM48,202 dengan kejayaan ini membuktikan keberkesanan program SDSI dalam membantu usahawan tempatan,” katanya.

Ewon berkata program Jualan MADANI turut menawarkan lebih 200 jenis barangan keperluan harian pada harga yang lebih rendah dengan diskaun sehingga 30 peratus termasuk ayam segar, telur, beras dan minyak masak.

“Program ini turut disertai oleh 120 usahawan SDSI, 24 peniaga makanan dan minuman melalui program Selera Di Bawah Bayu serta sembilan usahawan food truck,” katanya.

Sementara itu, program pocket talk yang diadakan pada PMR 2025 Sabah akan membawakan pelbagai topik menarik berkaitan keusahawanan, koperasi dan pembangunan ekonomi yang disampaikan oleh pakar-pakar industri serta penceramah berkaliber.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan