AM

Musim Hujan Jejas Rezeki Penoreh Getah, Bantuan STR, SARA Jadi Penyelamat

04/05/2025 11:28 AM

Oleh Rosnani Saad

SIK, 4 Mei (Bernama) -- Musim tengkujuh bukan sahaja membawa hujan berpanjangan, malah turut ‘menghanyutkan’ sumber rezeki ribuan keluarga luar bandar, khususnya penoreh getah yang bergantung sepenuhnya kepada hasil bumi.

Seperti dialami Siti Zaleha Harun, 41, dari Kampung Dusun, di sini, hujan hampir setiap hari kebelakangan ini menutup peluangnya menoreh getah – satu-satunya punca pendapatan untuk membesarkan enam orang anak.

“Dua minggu ini asyik hujan... langsung tak boleh keluar menoreh. Hasil pun tak ada. Sedangkan saya perlu beli barang dapur dan uruskan sekolah anak-anak,” luahnya ketika ditemui Bernama baru-baru ini.

Lebih mencabar, wanita cekal itu turut menjaga suaminya yang lumpuh separuh badan sejak beberapa tahun lalu, menjadikan kehidupannya ibarat ‘kais pagi makan pagi’.

Namun, keperitan itu sedikit terubat apabila bantuan kerajaan seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) disalurkan tepat pada masanya.

Menurut Siti Zaleha, bantuan itu amat membantu terutama untuk menampung perbelanjaan harian, membeli keperluan dapur, barangan persekolahan anak-anak serta lampin pakai buang suaminya.

“Suami baru-baru ini dimasukkan ke hospital. Duit STR itulah saya guna beli lampin pakai buang dia. Kalau harap duit menoreh saja, memang tak cukup.

“Saya harap kerajaan dapat tingkatkan jumlah bantuan, sebab ramai yang betul-betul susah macam kami,” katanya.

Sementara itu, bagi Mohd Zahir Md Aris, 45, dari Kampung Charuk Tok Pong, musim hujan juga membawa cabaran sama buat dirinya yang mempunyai empat anak masih bersekolah.

“Menoreh memang tak tentu... kalau musim hujan begini, langsung tak dapat hasil. Mujur isteri ada ambil upah jaga budak. Bila dapat bantuan STR dan SARA, kurang sikit beban dapur,” katanya.

Bagi Fasa Dua tahun ini, bermula 24 Mac, kerajaan menyalurkan RM1.7 bilion menerusi pembayaran STR, berbanding RM1.5 bilion pada tahun lalu, memanfaatkan hampir sembilan juta rakyat dewasa dengan jumlah bantuan sehingga RM650.

SARA pula disalurkan terus ke MyKad penerima sebagai inisiatif Kerajaan MADANI untuk membantu kos sara hidup golongan B40.

Bermula 1 April lepas, program itu diperluaskan kepada 5.4 juta penerima dengan kadar bantuan bulanan dinaikkan sehingga RM200 mengikut kategori.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan