EKONOMI

Richiamo Coffee Sasar Tembusi 5-10 Pasaran Antarabangsa Dalam Tempoh Lima Tahun 

04/05/2025 12:24 PM

Oleh Mohd Noor Azeery Idris

KUALA LUMPUR, 4 Mei (Bernama) -- Rangkaian kafe kopi premium milik anak tempatan, Richiamo Coffee Sdn Bhd merancang untuk meluaskan lagi sayapnya ke peringkat antarabangsa dengan menyasarkan lima hingga 10 pasaran global dalam tempoh lima tahun akan datang.

Pengarah Urusan Kumpulannya, Datuk Muhamad Zamry Abu Samah berkata sebagai permulaan, syarikatnya akan membuka cawangan di Phnom Penh, Kemboja dan Melbourne, Australia pada September tahun ini.

Beliau berkata bermula tahun lepas syarikat itu mula aktif menyertai ekspo di peringkat antarabangsa untuk mengintai pasaran yang berpotensi.

“Antara ekspo yang kita sertai termasuk di Melbourne, Australia, dan di Riyadh, Arab Saudi tahun lalu.

“Kita juga menyertai Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (Mihas) di Dubai, Emiriah Arab Bersatu pada November (tahun lepas). Tahun ini, kita akan pergi ke Osaka, Jepun dan Jerman,” katanya pada program ‘Bual Bisnes’ Bernama TV yang disiarkan pada Sabtu. 

Menurutnya, Richiamo Coffee juga menerima minat dari Uzbekistan dan telah berjaya memeterai satu memorandum persefahaman (MoU) dengan pihak berkepentingan di negara tersebut.

“Bagi operasi di peringkat global, Richiamo Coffee berminat untuk bekerjasama dengan pelabur yang ingin membuka dapur pusat di negara tersebut bagi mengurangkan kos produksi dan logistik. Langkah ini juga mampu mengurangkan duti import produk,” katanya.

Bagi pengembangan pasaran tempatan, Muhamad Zamry berkata syarikat itu merancang untuk meningkatkan jumlah cawangan kepada 350 dalam tempoh terdekat.

Sejak penubuhannya pada 2016, Richiamo Coffee telah mencatat pertumbuhan pesat dengan memiliki 220 cawangan di seluruh Malaysia.

Manakala Richiamo Mart, cabang perniagaan runcit baharu di bawah kumpulan tersebut, kini telah memiliki 20 cawangan.

“Kami merancang untuk meningkatkan inovasi produk dengan memperkenalkan produk baharu setiap tiga bulan bagi menarik pelanggan baharu dan mengekalkan pelanggan sedia ada,” katanya. 

-- BERNAMA  


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan