DUNIA

Semangat Kerjasama Petugas Kunci Kelancaran Operasi Haji 2025

04/05/2025 08:12 PM

Daripada Nurliyana Farhah Ruslan

MAKKAH, 4 Mei (Bernama) --Petugas Lembaga Tabung Haji (TH) musim haji 1446H/2025M diingatkan supaya sentiasa mengamalkan semangat kerjasama dan saling membantu merentasi semua sektor bagi memastikan kelancaran operasi ibadah haji tahun ini.

Ketua Rombongan Haji Malaysia Mohd Hisham Harun berkata setiap petugas perlu melaksanakan tanggungjawab dengan sabar, ikhlas dan penuh rasa amanah demi kesejahteraan jemaah haji negara di Tanah Suci.

“Petugas perlu bersyukur kerana terpilih menyantuni Duyufurrahman (tetamu Allah). Mereka datang dari pelbagai latar belakang dan membawa harapan tinggi untuk menunaikan ibadah haji sebaik mungkin.

“Dalam semangat itu, kita harus bijak menangani kerenah dan keperluan jemaah dengan hikmah dan kasih sayang,” katanya ketika ditemui media selepas majlis bacaan Yasin dan solat hajat di Ibu Pejabat TH, Abraj Al Janadriyah, di sini hari ini.

Majlis selepas solat Zohor itu dipimpin Pembimbing Ibadat Haji Tanah Suci (PIHTAS) Muhamad Khairul Basri Osman.

TH menempatkan petugas di Tanah Suci merangkumi pelbagai sektor, termasuk pengurusan maktab dan zon, kesihatan, bimbingan ibadat, ziarah, kewangan, media, pengangkutan, sajian, bagasi dan khidmat pelanggan.

Musim ini menyaksikan dua kumpulan utama petugas iaitu 358 Petugas Rombongan Kebajikan dan 274 Petugas Rombongan Perubatan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan