JENAYAH & MAHKAMAH

Pelaksanaan AKPS Di 22 Pintu Masuk Sempadan Beri Hasil Positif - Saifuddin Nasution

04/05/2025 08:19 PM

PASIR MAS, 4 Mei (Bernama) -- Pelaksanaan operasi Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) di 22 daripada 140 pintu masuk di seluruh negara setakat ini membuahkan hasil positif dengan nilai rampasan mencecah RM400,000, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata pelaksanaan AKPS, yang kini dalam fasa awal, membolehkan kerajaan menilai keupayaan sebenar operasi lintas agensi itu dalam menangani pelanggaran undang-undang di sempadan negara.

“Setiap lokasi mempunyai corak dan cabaran operasi yang berbeza misalnya Rantau Panjang adalah pintu darat manakala Johor Bahru-Singapura berdepan aliran masuk harian hingga 500,000 pengembara.

“Kita sedang melihat aspek yang perlu ditambah baik daripada segi operasi di lokasi seperti KLIA1 dan KLIA2 yang berbeza bentuk cabarannya," kata beliau kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja ke Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan di Rantau Panjang di sini hari ini

Saifuddin Nasution berkata penubuhan AKPS, yang menggabungkan pelbagai agensi seperti Jabatan Kastam, Jabatan Imigresen dan Jabatan Pengangkutan Jalan di bawah satu arahan operasi bukanlah sesuatu yang mudah kerana setiap agensi mempunyai prosedur operasi standard tersendiri.

“Sekarang kita ada satu komander yang memberi arahan merentasi pelbagai agensi, kita nak lihat bagaimana keseragaman ini dapat diwujudkan dengan kemas dan berkesan,” katanya.

Beliau turut mengakui situasi penyeludupan di kawasan seperti pangkalan haram masih perlu diperhati dan dinilai secara berterusan meskipun keputusan menutup beberapa lokasi bagi kegiatan itu disifatkan sebagai langkah awal yang berjaya.

Saifuddin Nasution juga berkata penambahan bilangan pintu masuk yang diletakkan di bawah AKPS akan dilakukan secara berperingkat hingga mencapai 140 lokasi.

“Pemilihan pintu masuk baharu akan dibuat berdasarkan keperluan operasi dan kekuatan perjawatan yang disumbang oleh agensi terlibat... AKPS tidak mempunyai perjawatan baharu, semua penugasan adalah berdasarkan penempatan semula pegawai daripada agensi sedia ada,” katanya.

Beliau berkata antara aspek yang perlu ditambah baik ialah proses pengambilalihan aset daripada agensi untuk digunakan secara bersama di bawah AKPS.

“Pengalihan aset ini ada dua bentuk, satu yang boleh terus kita guna dan satu lagi masih terikat dengan kontrak atau undang-undang sedia ada... kalau kita boleh percepatkan urusan ini, ia akan meningkatkan keberkesanan AKPS secara keseluruhan,” katanya yang berpuas hati dengan prestasi semasa agensi itu selepas hampir lima bulan pelaksanaannya namun memaklumkan bahawa ruang penambahbaikan masih luas.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan