EKONOMI

Kerajaan Pertimbang Semak Semula Unjuran Pertumbuhan KDNK Selepas Dapat Lebih Kepastian Hasil Rundingan Dengan AS

05/05/2025 02:33 PM

KUALA LUMPUR, 5 Mei (Bernama) -- Kerajaan mempertimbangkan menyemak semula unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang ditetapkan dalam Belanjawan 2025 selepas mendapat lebih kepastian mengenai dasar tarif Amerika Syarikat (AS) dan hasil rundingan Malaysia dengan negara itu.

“Kementerian Kewangan dan Bank Negara Malaysia sedang meneliti kesan tarif dan akan menyemak semula unjuran pertumbuhan KDNK setelah terdapat lebih kepastian atas pelaksanaan dasar tarif pentadbiran (Presiden AS Donald) Trump serta hasil rundingan dengan AS,” kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.

Beliau berkata demikian pada sesi penerangan Mesyuarat Khas Dewan Rakyat mengenai tarif AS di sini.

Menyifatkan situasi berkenaan sebagai dinamik, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata besar kemungkinan negara tidak dapat mencapai unjuran pertumbuhan KDNK tahun ini iaitu antara 4.5 peratus dan 5.5 peratus.

Perdana Menteri berkata isu yang menjadi keprihatinan Malaysia sebagai ekonomi terbuka ialah impak dasar AS tersebut ke atas ekonomi global. 

“Kita perlu menerima kenyataan bahawa setakat angka yang diperoleh hari ini, negara berdepan dengan unjuran ekonomi yang lebih sederhana.

“Pertumbuhan ekonomi dunia 2025 dijangka berkembang lebih sederhana berbanding unjuran awal,” kata beliau.

Memetik unjuran ekonomi dunia oleh Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) (IMF World Economic Outlook) antara April dan Januari 2025, Anwar berkata pertumbuhan ekonomi global disemak semula kepada 2.8 peratus berbanding 3.3 peratus.

Beliau berkata unjuran pertumbuhan AS, Indonesia dan Thailand juga disemak semula dan lebih rendah daripada unjuran sebelumnya dengan AS sebanyak 1.8 peratus berbanding 2.7 peratus sebelumnya, Indonesia 4.7 peratus (5.1 peratus) dan Thailand 1.8 peratus (2.9 peratus).

“Pertumbuhan Malaysia juga disemak semula kepada 4.1 peratus berbanding  4.7 peratus. Jangkaan baharu ini bermaksud pertumbuhan ekonomi lebih sederhana di semua negara termasuk Malaysia,” kata beliau.

Anwar berkata sejak pengumuman pengenaan tarif import oleh AS pada 2 April lepas, kerajaan MADANI proaktif dengan segera mengambil beberapa ikhtiar awal. 

Menerusi penubuhan Pusat Tindakan Geoekonomi Negara (NGCC) pada 4 April lepas, beliau berkata platform bersepadu melibatkan pelbagai agensi itu telah memantau, menilai dan menyelaras tindak balas terhadap perubahan landskap perdagangan global, kejutan tarif serta halangan bukan tarif.

Anwar berkata NGCC yang dipengerusikan beliau dan telah bersidang sebanyak tiga kali itu bertujuan memastikan industri strategik, pengeksport dan perancangan ekonomi kekal berdaya tahan dan mampu bersaing dalam ketidaktentuan yang mencabar. 

Beliau berkata Pasukan Petugas Geoekonomi ASEAN turut diwujudkan bagi mengukuhkan pemantauan dan penyelarasan dasar di peringkat ASEAN, merupakan kesepakatan dicapai pada mesyuarat khas Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN mengenai tarif timbal balas AS.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan