AM

5,526 Jemaah Haji Malaysia Selamat Tiba Di Tanah Suci - Ketua Rombongan

05/05/2025 05:21 PM

Daripada Nurliyana Farhah Ruslan

MAKKAH, 4 Mei (Bernama) -- Sebanyak 5,256 jemaah Malaysia bagi musim haji 1446H/2025M selamat tiba di Tanah Suci, melibatkan ketibaan secara berperingkat di kota suci Makkah dan Madinah sejak penerbangan pertama pada 29 April lepas. 

Ketua Rombongan Haji Malaysia Mohd Hisham Harun berkata sebanyak 4,419 jemaah masih berada di Madinah manakala 837 jemaah telah memasuki Makkah secara berperingkat sejak Ahad.

“Sebanyak 19 penerbangan jemaah haji Malaysia telah mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohammad bin Abdul Aziz, Madinah setakat ini, daripada keseluruhan 100 penerbangan haji yang dijadualkan tahun ini.

“Daripada jumlah itu, 47 penerbangan dijadualkan ke Madinah manakala 53 penerbangan lagi akan mendarat di Jeddah, dengan jemaah terus bergerak memasuki kota suci Makkah,” katanya dałam sidang media di Ibu Pejabat TH di sini hari ini.

Sementara itu, Mohd Hisham berkata 837 jemaah haji Malaysia melibatkan tiga kumpulan iaitu KT1, KT2 dan KT3 telah tiba di sini pada Ahad selepas enam hari berada di Madinah.

"Pergerakan jemaah haji dari Madinah ke Makkah bermula semalam, melibatkan tiga kumpulan iaitu KT1 menginap di Hotel Abraj Al Janadiriyah dengan 253 jemaah, KT2 di Hotel Land Premiere (328 jemaah) dan KT3 di Hotel Abraj Tayseer dengan 256 jemaah.

"Hari ini, tiga lagi kumpulan jemaah dijadualkan bergerak dari Madinah ke Makkah secara berperingkat, mengikut jadual pergerakan yang telah ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata kesemua jemaah telah selesai menunaikan umrah pertama secara berperingkat dengan diketuai seorang mutawif atau pembimbing serta petugas TH bagi melaksanakan ibadah umrah.

Selain itu, Mohd Hisham berkata setakat ini hanya seorang jemaah haji Malaysia dimasukkan ke pusat rawatan di Madinah dan keadaannya dilaporkan stabil. 

“Kita hanya menunggu masa sesuai untuk membawa jemaah tersebut bergerak ke Makkah bagi menunaikan umrah.

“Kesihatan jemaah keseluruhannya berada dalam keadaan baik. Jadi kepada keluarga di tanah air, tidak perlu bimbang kerana TH mempunyai pasukan perubatan mencukupi untuk memberikan rawatan serta nasihat kesihatan kepada jemaah," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan