DUNIA

LG Electronics Sasar Kutip 8 Juta Tan Barangan Lama Untuk Kitar Semula Menjelang 2030

06/05/2025 02:26 PM

SEOUL, 6 Mei (Bernama-Yonhap) -- Syarikat gergasi peralatan rumah Korea Selatan, LG Electronics Inc. menyasarkan untuk mengumpul sebanyak 8 juta tan barangan lama untuk dikitar semula menjelang 2030 sebagai sebahagian daripada usaha menggalakkan ekonomi kitaran, menurut pegawai syarikat pada Selasa.

Syarikat itu berjaya mengumpulkan sejumlah 5 juta tan barangan terpakai dari seluruh dunia sejak 2006 bagi tujuan itu, lapor Agensi Berita Yonhap.

Sempena Hari Bumi pada 22 April lalu, syarikat itu turut berjaya mengutip sebanyak 2,850 kilogram alat elektronik dan peralatan rumah yang dibuang oleh kakitangannya di Korea Selatan.

Di bawah visi alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) bertemakan “Better Life for All,” LG Electronics melaksanakan program kutipan dan kitar semula peralatan rumah lama di 54 negara termasuk Amerika Syarikat, Poland, Republik Czech, Jerman, Filipina, Emiriah Arab Bersatu dan Nigeria.

LG Electronics memaklumkan inisiatif itu membolehkan syarikat mengurangkan pelepasan karbon serta menyumbang kepada ekonomi kitaran dengan mengasingkan bahagian yang boleh diguna semula daripada produk elektronik terpakai dan memprosesnya kembali.

“Kami merancang untuk menggunakan kira-kira 600,000 tan plastik kitar semula dalam pengeluaran produk kami antara 2021 hingga 2030,” kata seorang pegawai syarikat.

-- BERNAMA-YONHAP


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan