AM

Pulau Pinang Perluas Promosi Durian Ke India, Eropah

06/05/2025 09:14 PM

GEORGE TOWN, 6 Mei (Bernama) -- Pulau Pinang meningkatkan promosi makan durian di beberapa negara baharu seperti India, Australia, Eropah dan Timur Tengah untuk menarik lebih ramai pelancong datang ke negeri ini, terutama sepanjang musim raja buah itu bermula Mei hingga Ogos.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Pulau Pinang Wong Hon Wai berkata melancong ke Pulau Pinang ketika musim durian menawarkan peluang untuk menikmati buah baru dituai pada harga yang berpatutan di samping menerokai tarikan lain di negeri ini.

“Setiap tahun kita memang mempromosikan durian secara besar-besaran di ASEAN, China dan Hong Kong kerana populasinya yang besar. Tahun ini kami tambah beberapa negara lagi seperti India dan Timur Tengah berikutan terdapat penerbangan terus dari negara tersebut ke Pulau Pinang.

“Berdasarkan maklum balas yang kami terima pelancong dari negara berkenaan juga sangat sukakan durian dan mereka mahu menikmatinya di dusun atau kebun durian kerana inginkan suasananya serta boleh bergambar di situ," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Promosi Durian Pulau Pinang di sini hari ini.

Beliau berkata pihaknya dengan kerjasama Persatuan Pekebun Buah-Buahan Pulau Pinang turut menghasilkan risalah mengenai durian bagi memberikan maklumat lebih lanjut kepada pelancong dalam dan luar negara, selain turut diletakkan di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang.

Selain Balik Pulau, Wong berkata kawasan dusun yang turut menghasilkan durian berkualiti tinggi di Pulau Pinang ialah di Teluk Bahang, Bukit Mertajam, Sungai Bakap dan Seberang Perai.

Beliau memaklumkan pihaknya juga bekerjasama dengan pemilik dusun durian dan hotel untuk menawarkan pakej makan durian kepada pelancong asing. 

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia Pulau Pinang Datuk Tony Goh berkata selain menawarkan pakej makan durian di dusun, pengusaha hotel di kawasan pantai turut menyediakan pakej makan durian di kawasan terbuka di hotel mereka sepanjang musim raja buah itu.

Beliau berkata harga pakej makan durian di dusun yang ditawarkan adalah lebih murah iaitu antara RM80 dan RM100 seorang kerana pihak hotel bekerjasama terus dengan pemilik kebun durian.

"Ketika musim durian terutama dari Jun hingga Julai permintaan hotel meningkat 40 peratus hingga 50 peratus dalam kalangan pelancong asing terutama dari China, Singapura dan Indonesia yang datang untuk menikmati durian di Pulau Pinang.

"Mereka membeli pakej sama ada makan durian di kebun atau menikmati raja buah itu di hotel secara terbuka seperti di tepi pantai atau tepi kolam renang," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan