KUCHING, 7 Mei (Bernama) -- Seorang anggota polis trafik Bukit Aman berpangkat Lans Koperal didakwa di Mahkamah Majistret Kuching hari ini, atas pertuduhan membunuh seorang lelaki di Jalan Stephen Yong pada April lepas.
Genesis Nitchell David Reddy, 30, didakwa membunuh Muhammad Zaki Iderus, 34, yang maut akibat terkena tembakan semasa berada di dalam sebuah kereta di Jalan Stephen Yong, di sini pada 26 April.
Lelaki itu mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya, namun tiada pengakuan direkodkan berikutan kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak lebih 40 tahun dan tidak kurang 12 sebatan, jika sabit kesalahan.
Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali menetapkan 10 Jun untuk sebutan semula kes, susulan pihak pendakwaan masih menunggu laporan kimia berkaitan insiden itu.
Genesis diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan Russell Lim dan Brandon Ting.
Pada 26 April, Ketua Polis Daerah Padawan Supt Mohd Irwan Hafiz Md Radzi berkata dua lelaki hadir ke Balai Polis Batu Kawa kira-kira 5.30 pagi, untuk memaklumkan seorang rakan mereka telah ditembak dan berada di dalam kereta yang dinaiki mereka.
Berikutan itu, enam lelaki termasuk anggota polis itu direman bagi membantu siasatan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial