AM

Malaysia Ketuai Pembangunan Garis Panduan Keselamatan Media Sosial ASEAN

07/05/2025 02:56 PM

Oleh Aisha Hani Nor Azmir

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 Mei (Bernama) -- Malaysia mengambil peranan utama dalam merangka Garis Panduan ASEAN mengenai Penggunaan Platform Media Sosial yang Selamat dan Bertanggungjawab sebagai langkah menangani cabaran yang semakin meningkat berkaitan penggunaan media sosial.

Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata inisiatif itu bertujuan menyediakan panduan yang harmoni untuk rantau ini, menghasilkan laporan komprehensif mengenai peraturan media sosial di seluruh negara anggota ASEAN, serta menyokong garis panduan praktikal yang mencerminkan konteks unik ASEAN.

“Kami kini berada dalam fasa penting pengumpulan maklumat dan konsultasi bersama pakar. Pada peringkat ini, soal selidik telah diedarkan dan kami memohon pencalonan bagi temu duga serta penyertaan dalam bengkel pengesahan.

“Usaha ini amat penting untuk memastikan ketepatan dan kesesuaian proses penanda aras ini, sekali gus memperkukuhkan kualiti garis panduan yang sedang dibangunkan,” katanya, sambil menegaskan bahawa sumbangan daripada semua negara anggota ASEAN adalah penting ke arah mewujudkan persekitaran media sosial yang lebih selamat dan bertanggungjawab.

Teo menyampaikan ucapan berkenaan semasa sesi pleno Persidangan Menteri-Menteri ASEAN Bertanggungjawab Bagi Maklumat (AMRI) ke-17 di sini hari ini.

Teo mengetuai delegasi Malaysia pada persidangan itu, yang secara rasminya bermula hari ini di sebuah hotel tempatan.

Beliau berkata perkembangan dunia digital mendedahkan pengguna kepada risiko lebih besar termasuk penipuan dalam talian, gangguan siber, ucapan kebencian dan penyebaran maklumat salah.

“Selain itu, pendekatan kawal selia yang berbeza serta definisi dan rejim pelesenan yang tidak selaras di seluruh negara anggota ASEAN boleh menyebabkan tahap perlindungan yang tidak sekata kepada rakyat ASEAN, peningkatan kos pematuhan bagi platform serta cabaran dalam penguatkuasaan rentas sempadan,” katanya.

Ketika Malaysia bersiap sedia untuk mengambil alih jawatan Pengerusi Kumpulan Kerja Maklumat, Media dan Latihan pada Mesyuarat Pegawai Kanan ASEAN yang Bertanggungjawab Terhadap Maklumat (SOMRI)(SOMRI WG-IMT) dan Pasukan Petugas Berita Palsu pada 2025, Teo menegaskan semula komitmen Malaysia untuk membina inisiatif kerjasama, membolehkan setiap warga ASEAN mengemudi landskap media yang sedang berkembang dengan selamat.

Beliau berkata Komuniti ASEAN yang benar-benar bersatu perlu dibina atas ekosistem media dan maklumat yang kukuh, inklusif dan dipercayai, sambil menyeru negara anggota ASEAN untuk bekerjasama dan merealisasikan visi ASEAN yang berdaya tahan, responsif dan benar-benar berhubung menjelang 2035.

Teo turut membangkitkan beberapa usaha penting yang diterajui ASEAN, termasuk Garis Panduan Pengurusan Maklumat Kerajaan dalam Membanteras Berita Palsu dan Maklumat Tidak Tepat Dalam Media, yang disahkan pada AMRI ke-16 di Da Nang, Vietnam pada September 2023.

Beliau berkata ia termasuk Bengkel ASEAN-Australia Untuk Tangani Berita Palsu, yang diadakan dari 1 hingga 3 Okt tahun lepas di Jakarta, yang memberi ruang kepada delegasi untuk bertukar pandangan dan pengalaman negara masing-masing dalam menangani penyelewengan maklumat.

Antara inisiatif utama yang dibincangkan pada bengkel itu termasuk penubuhan unit semakan fakta tindak balas pantas yang disokong oleh papan pemuka pemantauan berasaskan kecerdasan buatan, pelaksanaan bengkel celik digital berasaskan komuniti dan integrasi modul literasi media dalam kurikulum sekolah.

Sementara itu, selaras dengan Pernyataan Visi AMRI 2035 dan kesinambungan daripada pencapaian serantau seperti Deklarasi Da Nang dan Tahun Pertukaran Rakyat-ke-Rakyat ASEAN-China, Teo menegaskan komitmen Malaysia terhadap kerjasama media, literasi digital dan penerbitan kandungan bersama.

Menyentuh tema AMRI ke-17, MAJU-Media Advancing Joint Understanding: Transforming Media’s Role in Advancing Cooperation and Mutual Understanding in ASEAN, Teo berkata ia mencerminkan komitmen bersama ke arah mentransformasikan media menjadi platform penyertaan yang inklusif, mudah diakses dan responsif kepada keperluan semua komuniti di rantau ini.

Turut serta dalam delegasi Malaysia ialah Pengarah Bahagian Perkhidmatan Komunikasi dan Pembangunan Masyarakat Jabatan Penerangan (JaPen) Muhammad Najmi Mustapha dan Ketua Pegawai Korporat dan Antarabangsa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Syahrilazli Mahammad.

Delegasi itu juga dianggotai Pengarah II MCMC (ASEAN dan Dua Hala) Fatin Nabiha Ab Aziz, Editor Eksekutif Perkhidmatan Berita Antarabangsa Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Mohd Shukri Ishak serta pegawai kanan lain daripada Kementerian Komunikasi dan agensinya.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan