AM

PM Anwar Arah Menteri Kesihatan Teliti Isu Penggunaan Akta 723 Terhadap GP - Fahmi

07/05/2025 05:31 PM

PUTRAJAYA, 7 Mei (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad untuk segera meneliti isu yang dibangkitkan oleh pengamal perubatan swasta (GP) berhubung pelaksanaan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (Akta 723).

Menteri Komunikasi merangkap Jurucakap Kerajaan MADANI, Datuk Fahmi Fadzil berkata perkara itu dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet hari ini, dan perdana menteri telah mendapatkan penjelasan daripada Dzulkefly.

“Apa yang dibangkitkan melibatkan penggunaan Akta 723 yang berada di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

“Terdapat dalam kalangan doktor (GP) yang bertanya mengapa akta tersebut digunakan dan bukannya Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586). Jadi, perdana menteri telah meminta supaya perkara ini segera dijelaskan,” katanya pada sidang media mingguan di sini hari ini.

Semalam, lebih 300 GP mengadakan perhimpunan aman kira-kira dua jam berhampiran Bangunan Perdana Putra di sini bagi membantah penggunaan Akta 723 terhadap profesion perubatan.

Mereka menuntut supaya akta itu disemak semula dan bidang perubatan dikawal sepenuhnya di bawah Akta 586 yang disifatkan lebih sesuai untuk menyelia amalan serta perkhidmatan kesihatan swasta.

Fahmi berkata Jadual Ketujuh dalam Akta 586 yang menetapkan caj perundingan dan tatacara klinik swasta akan dikaji semula dan Dzulkefly memaklumkan kertas Jemaah Menteri berhubung perkara itu sudah disiapkan.

“Dalam satu atau dua minggu lagi, ia dijangka dibawa semula ke Kabinet untuk keputusan,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan Jadual Ketujuh itu belum pernah dipinda sejak digazetkan pada 2006.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan