AM

US Pizza, Iboozee Catat Rekod ASEAN

08/05/2025 04:10 PM

KUALA LUMPUR, 8 Mei (Bernama) -- US Pizza selaku piza kegemaran tempatan serta Mesin Layan Diri Jus Segar My US Coffee Sdn Bhd, masing-masing telah mencatatkan rekod ASEAN atas inovasi mereka.

US Pizza menerima pengiktirafan kerana menawarkan piza bercita rasa tempatan paling banyak di ASEAN, dengan 88 variasi disesuaikan dengan kegemaran rakyat Malaysia, manakala Iboozee diberi penghormatan kerana memperkenalkan jus buah bersijil halal pertama melalui mesin layan diri automatik di Malaysia.

Majlis pengiktirafan itu diadakan bersempena pameran Franchise International Malaysia (FIM 2025) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur yang disaksikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ketua Pegawai Operasi Kumpulan US Pizza Deric Yeo berkata anugerah itu, mencerminkan kekuatan syarikat dalam berinovasi dan menyediakan makanan bercita rasa temptan untuk pasaran serantau.

“Kami sangat berbangga kerana pengiktirafan ini, yang merangkumi semua negara ASEAN. Walaupun bersaing dengan pemain serantau yang lebih besar, keupayaan kami untuk mengikut cita rasa tempatan dan berinovasi benar-benar membezakan kami,” katanya kepada Bernama.

Yeo berkata konsep kios baharu syarikat itu yang berharga RM300,000, menawarkan titik permulaan pelaburan yang mampu milik, selain rangkaian mesin layan diri, kopi dan jus di bawah jenama Iboozee.

“Kami menyasarkan untuk membuka 40 hingga 50 cawangan baharu tahun ini. Pada suku pertama tahun ini, kami telah membuka lima cawangan dan lima lagi sedang dalam pembinaan. Kami menjangkakan dapat mencapai sasaran ini menjelang akhir tahun,” katanya.

Yeo bekata kira-kira 200 lokasi berpotensi telah dikenal pasti di seluruh negara untuk pemasangan mesin layan diri Iboozee, yang menyediakan jus segar tanpa gula tambahan yang diperah daripada tiga hingga empat biji buah.

Beliau berkata bagi mengurangkan halangan pelaburan, US Pizza menawarkan subsidi penubuhan francais sebanyak 50 peratus, yang merangkumi kos pengubahsuaian dan peralatan, kepada francaisi yang mendaftar semasa ekspo tiga hari tersebut.

“Malah pertanyaan menerusi kod QR ekspo selepas pameran juga akan menerima keistimewaan yang sama,” katanya.

Yeo berkata US Pizza juga akan memperkenalkan dua piza berinspirasikan Malaysia menjelang pertengahan Mei iaitu Piza Ikan Nyonya dan Piza Ayam Penyet Best Sambal, hasil kerjasama dengan Ayam Penyet Best. Menu ini akan diperluas merangkumi hidangan sarapan dan penghantaran lewat malam sehingga jam 2 pagi, di cawangan terpilih.

Hari ini, susulan pengiktirafan rekod ASEAN itu, Ahmad Zahid telah turut merasmikan pelancaran Iboozee selaku mesin layan diri jus buah segar bersijil halal pertama di Malaysia.

Turut diadakan penandatanganan plak dan penyampaian sijil halal rasmi daripada wakil Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Dibangunkan oleh My US Coffee Sdn Bhd, mesin Iboozee menggabungkan elemen kesihatan, kemudahan dan pematuhan agama dengan menyajikan jus segar bersijil halal melalui sistem automatik sepenuhnya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan