EKONOMI

Ekonomi Terus Berkembang Meskipun Wujud Ketidakpastian Mengenai Tarif - Gabenor BNM

08/05/2025 06:27 PM

KUALA LUMPUR, 8 Mei (Bernama) -- Berikut adalah transkrip temu bual BERNAMA menerusi e-mel dengan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour mengenai Kadar Dasar Semalaman (OPR) dan Keperluan Rizab Berkanun (SRR). 

 

1. Bolehkah Gabenor jelaskan keputusan Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) mengenai Kadar Dasar Semalaman (OPR) hari ini?

MPC telah memutuskan untuk mengekalkan OPR pada 3 peratus pada mesyuaratnya hari ini. Keputusan ini berdasarkan penilaian terkini MPC berhubung dengan keadaan ekonomi Malaysia. MPC terus memantau dengan teliti perkembangan semasa yang mungkin mempengaruhi prospek pertumbuhan dan inflasi negara. Kami akan terus menilai pendirian dasar monetari bagi memastikannya kekal kondusif untuk pertumbuhan ekonomi yang mampan dalam keadaan harga yang stabil.

 

2. Apakah pandangan Gabenor mengenai tarif ini dan perubahan dinamik perdagangan global yang mempengaruhi prospek ekonomi Malaysia pada masa hadapan?

Sebagai ekonomi yang kecil dan terbuka, kami sedar yang Malaysia akan menerima kesan secara langsung dan tidak langsung daripada tarif ini. Bukan sekadar kesan langsung daripada pengenaan tarif, malah kejadian yang mempengaruhi ekonomi global juga mungkin memberikan kesan terhadap trajektori pertumbuhan dan inflasi negara.

Berikutan perkembangan semasa, kami akan menyemak unjuran pertumbuhan KDNK sebanyak 4.5 peratus - 5.5 peratus untuk 2025 yang diumumkan pada Mac. Namun, kami tidak menjangka akan berlaku kemelesetan. Meskipun hasil rundingan perdagangan masih tidak menentu, Malaysia menghadapi situasi ini dengan kedudukan yang kukuh.

Data terkini menunjukkan bahawa ekonomi Malaysia terus berkembang pada suku pertama 2025. Hal ini menandakan permintaan dalam negeri terus berdaya tahan, berteraskan perbelanjaan isi rumah dan aktiviti pelaburan. Pada masa hadapan, pertumbuhan guna tenaga dan upah serta langkah-langkah dasar berkaitan pendapatan akan menyokong perbelanjaan isi rumah. Aktiviti pelaburan akan diteruskan oleh pelaksanaan berterusan projek yang diluluskan. Semua hal ini akan menyediakan penampan terhadap kejutan global.

Ketegangan perdagangan yang semakin meningkat akan mempengaruhi sektor luaran Malaysia. Bagaimanapun, permintaan yang berterusan untuk produk elektrik dan elektronik (E&E) negara yang dikecualikan daripada tarif dan perbelanjaan pelancong yang lebih tinggi akan mengimbangi eksport negara. MPC menjangkakan pelancong akan terus mengunjungi Malaysia, digalakkan oleh ketersambungan penerbangan, dasar bebas visa dan promosi Tahun Melawat Malaysia 2026. Struktur eksport yang pelbagai juga mengurangkan pergantungan negara kepada mana-mana produk atau pasaran tunggal. Pada masa ini, tiada pasaran yang menyumbang lebih 15 peratus daripada eksport Malaysia.

Risiko pertumbuhan menjadi perlahan boleh berpunca daripada ekonomi yang semakin lembap dalam kalangan rakan perdagangan utama negara. Sentimen yang lemah boleh menjejaskan perbelanjaan dalam negeri dan pelaburan. Pengeluaran komoditi yang lebih rendah daripada jangkaan juga akan mempengaruhi pertumbuhan. Sebaliknya, hasil rundingan perdagangan yang menggalakkan, dasar-dasar yang menyokong pertumbuhan di negara-negara maju serta aktiviti pelancongan yang lebih giat dapat meningkatkan prospek pertumbuhan Malaysia.

Inflasi kekal sederhana pada suku pertama tahun ini. Kami tidak menjangka tarif akan menjejaskan prospek inflasi dalam negeri dengan ketara berikutan keadaan kos global yang sederhana dan ketiadaan tekanan permintaan dalam negeri yang berlebihan.

Izinkan saya untuk memberikan penjelasan. Ketegangan perdagangan yang berterusan dijangka menjejaskan prospek permintaan global, yang seterusnya akan menyokong pengurangan harga komoditi global yang lebih lanjut. Keadaan ini boleh membantu mengurangkan kos pengeluaran perniagaan di Malaysia.

Persekitaran kos yang terkawal, termasuk harga komoditi yang lebih rendah, memastikan keadaan yang terus memberangsangkan bagi pembaharuan dasar dalam negeri yang diumumkan sebelum ini untuk dilaksanakan lewat tahun ini, termasuk rancangan rasionalisasi subsidi RON95.

 

3. Apakah rancangan BNM untuk menghadapi perkembangan tarif ini serta ketidakpastian perdagangan yang berterusan? Bolehkah kita menjangka penurunan kadar faedah tidak lama lagi? Ekonomi Malaysia berada dalam keadaan yang secara relatif stabil buat masa ini.

Namun, seperti yang saya maklumkan sebelum ini, kita sedang menghadapi risiko pertumbuhan ekonomi negara menjadi lebih perlahan. MPC terus memantau keadaan dengan teliti dan bersedia untuk bertindak jika perlu.

Ciri Malaysia yang kecil dan terbuka bermakna ekonomi, kadar pertukaran dan pasaran kewangannya dipengaruhi oleh kejutan luaran. Perkembangan global berada di luar kawalan kita, namun kita boleh mengawal tindak balas kita terhadap perkembangan tersebut. BNM mempunyai pelbagai alat dasar untuk memberikan fleksibiliti yang lebih besar dan keupayaan untuk menyesuaikan tindak balas kepada isu-isu khusus.

Alat dasar ini khususnya berguna jika kejutan luaran tidak menyebabkan kesan dalam negeri secara menyeluruh, lantas negara akan mendapat manfaat daripada sokongan yang lebih bersasar. Sebagai contoh, operasi pasaran BNM akan terus memastikan fungsi pasaran pertukaran asing yang teratur dan  pengantaraan kewangan yang lancar semasa tempoh volatiliti.

Secara berasingan, kami juga mengumumkan rancangan untuk menurunkan Keperluan Rizab Berkanun (SRR) untuk menambah mudah tunai dalam sistem kewangan.

Selain itu, kami meneruskan kerjasama yang erat dengan kerajaan mengenai langkah-langkah fiskal untuk memastikan kami berusaha mencapai matlamat yang sama. Kami faham bahawa tempoh ketidakpastian ini boleh menimbulkan kebimbangan kepada pelbagai pihak. Apabila situasi berkembang, matlamat kami adalah untuk terus berkongsi penilaian kami tentang ekonomi Malaysia dan rasional di sebalik keputusan dasar supaya orang ramai dan perniagaan dapat memiliki maklumat yang diperlukan untuk merancang dengan sewajarnya.

 

4. Kami juga memerhatikan bahawa BNM telah menurunkan Keperluan Rizab Berkanun (SRR). Bolehkah Gabenor kongsikan lebih lanjut tentang apa itu SRR dan apakah rasional di sebalik penurunan SRR?

Ingin saya tegaskan bahawa SRR bukan isyarat pendirian dasar monetari kami. OPR kekal menjadi satu-satunya penunjuk yang digunakan oleh BNM sebagai isyarat pendirian dasar monetari.

SRR merupakan alat pengurusan mudah tunai yang digunakan oleh BNM bagi mengurangkan atau menambah mudah tunai ke dalam sistem perbankan pada jangka yang lebih panjang. SRR merujuk bahagian dana yang perlu diperuntukkan oleh bank-bank sebagai rizab dengan BNM. Dana tersebut tidak boleh digunakan untuk tujuan lain.

Keputusan BNM pada hari ini untuk menurunkan SRR merupakan sebahagian daripada usaha berterusan bagi memastikan mudah tunai yang mencukupi dalam sistem kewangan domestik. Langkah ini akan membantu bank-bank menguruskan mudah tunai dengan lebih baik dalam persekitaran volatiliti pasaran kewangan yang lebih tinggi serta menyediakan sokongan yang berterusan terhadap aktiviti pengantaraan kewangan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan