AM

Garis Panduan Media Sosial ASEAN Dijangka Dimuktamadkan Dalam Tiga Bulan - Teo

08/05/2025 08:07 PM

Oleh Aisha Hani Nor Azmir

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Mei (Bernama) -- Garis Panduan ASEAN mengenai Penggunaan Platform Media Sosial yang Selamat dan Bertanggungjawab bertujuan menangani cabaran yang semakin meningkat berkaitan penggunaan media sosial, dijangka dimuktamadkan dalam tiga bulan ini.

Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata inisiatif itu selaras dengan objektif supaya garis panduan itu diterima pakai oleh semua negara anggota ASEAN tahun depan.

"Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan menganjurkan bengkel bulan ini, kami harap selepas bengkel tersebut maklum balas akan lebih menyeluruh dan inklusif," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Garis panduan itu bertujuan menyediakan panduan yang harmoni untuk rantau ini, menghasilkan laporan komprehensif mengenai peraturan media sosial di seluruh negara anggota ASEAN serta menyokong garis panduan praktikal yang mencerminkan konteks unik ASEAN.

Mengetuai delegasi Malaysia pada Persidangan Menteri-Menteri ASEAN Bertanggungjawab Bagi Maklumat (AMRI) ke-17 di sini, Teo memaklumkan mengenai inisiatif itu yang diterajui Malaysia semasa sesi pleno pada Rabu.

Teo berkata kolaborasi ASEAN penting dalam menangani isu bersama terutama dalam menguruskan cabaran media sosial.

"Kita tidak boleh menafikan bahawa ini telah menjadi satu cabaran yang besar kepada semua negara.

"Sebagai satu negara, sukar untuk menangani isu-isu ini sendiri, jadi kerjasama ASEAN dan pertukaran maklumat penting untuk bercakap dalam satu suara kepada syarikat gergasi media seperti Meta, Google dan TikTok, akhirnya menyasarkan untuk mewujudkan persekitaran dalam talian yang lebih selamat," katanya.

Terdahulu, Teo mengadakan mesyuarat dua hala dengan Timbalan Ketua Jabatan Publisiti Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China, Wang Gang.

Mesyuarat yang berlangsung selama 40 minit itu membincangkan mengenai produksi bersama kandungan dan kerjasama media baharu antara Malaysia dan China serta isu berkaitan penggunaan media dan kewartawanan.

Kedua-dua pemimpin itu juga berbincang berhubung cabaran berterusan termasuk berita palsu dan maklumat salah di platform media sosial.

Wang turut memuji usaha Malaysia dalam memupuk persekitaran digital yang lebih selamat dan bertanggungjawab pada peringkat nasional.

Kedua-dua pemimpin menyatakan sokongan untuk mengukuhkan inisiatif pertukaran budaya termasuk memanfaatkan media sosial bagi mempromosikan pelancongan antara kedua-dua negara.

Mesyuarat itu turut dihadiri Ketua Pegawai Korporat dan Antarabangsa MCMC Syahrilazli Mahammad dan Timbalan Pengarah Dasar dan Penyelidikan RTM Reza Shahriman Othman.

Turut hadir Editor Eksekutif Perkhidmatan Berita Antarabangsa Pertubuhan Nasional Malaysia (Bernama) Mohd Shukri Ishak yang menanggung tugas Timbalan Ketua Pengarang perkhidmatan itu, bersama pegawai kanan Kementerian Komunikasi dan agensi-agensi berkaitan. 

Persidangan AMRI ke-17 tamat pada Rabu selepas Mesyuarat Pegawai Kanan Bertanggungjawab Terhadap Maklumat (SOMRI) dan mesyuarat bersama negara-negara Campur Tiga (China, Jepun dan Korea) diadakan pada 5-6 Mei lepas.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan