EKONOMI

Ketegangan Geopolitik Dijangka Jejas Prestasi Berjaya Food Dalam Masa Terdekat-- HLIB

09/05/2025 01:56 PM

KUALA LUMPUR, 9 Mei (Bernama) -- Berjaya Food Bhd (Berjaya Food) dijangka terus tertekan dengan ketegangan geopolitik, sekali gus akan menjejaskan prestasinya dalam tempoh terdekat, kata Hong Leong Investment Bank Bhd (HLIB).

Katanya, ia berlaku walaupun pengurusan syarikat memberi tumpuan kepada kecekapan kos, produktiviti tenaga kerja dan pemasaran yang disasarkan bagi mengurangkan impak tersebut.

Dalam satu nota penyelidikan hari ini, HLIB berkata kumpulan itu juga memilih untuk menutup stor berprestasi rendah berikutan persekitaran perniagaan yang mencabar.

Menurut nota itu, jumlah keseluruhan cawangan Starbucks merosot kepada 376 susulan penutupan 20 lagi kedai, masing-masing lapan di wilayah tengah, lima di wilayah selatan dan masing-masing tiga di wilayah utara dan timur serta satu di Sarawak.

HLIB berkata ia sudah menyemak semula unjuran bagi tahun kewangan 2025, 2026 dan 2027 dengan masing-masing susut kepada RM136.6 juta, RM129.9 juta dan RM118.5 juta. 

“Perolehan merosot lapan peratus suku ke suku kepada RM113.6 juta, diheret boikot berterusan oleh pelanggan Starbucks yang dikaitkan dengan konflik Israel-Gaza, selain tempoh bermusim yang lebih lemah ketika Ramadan dan suku pelaporan yang lebih pendek.

“Pada asas tahun ke tahun, perolehan turun 18 peratus, manakala jualan tahun sehingga kini susut sebanyak 40 peratus kepada RM360.9 juta, sebahagian besarnya disebabkan oleh pengurangan jumlah cawangan yang beroperasi dan tekanan boikot yang berterusan.

“Walaupun ekuiti jenama yang kukuh dan promosi yang giat dijalankan, kami berpendapat masalah boikot akan kekal sekurang-kurangnya untuk jangka masa terdekat, yang bakal menjejaskan pendapatan,” katanya.

Sementara itu, Maybank Investment Bank Bhd (Maybank IB) mengunjurkan bahawa cabaran operasi Berjaya Food akan terus berlaku dan kekal dalam ketidaktentuan ketika kesan ketegangan geopolitik yang berlarutan akan reda sepenuhnya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan