KALABAKAN, 9 Mei (Bernama) -- Sebanyak RM2.329 bilion diperuntukkan bagi mengurus keseluruhan pembangunan 52 projek baharu sekolah di Sabah tahun ini, kata Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.
Beliau berkata peruntukan berkenaan adalah sebahagian daripada usaha berterusan Kementerian Pendidkan (KPM) untuk menangani isu sekolah daif di negeri ini.
"Berbilion ringgit dibelanjakan bagi memastikan pembangunan sekolah daif dilaksanakan berterusan," katanya kepada pemberita sempena lawatan kerja dua hari Program Tindak Susul Parlimen yang berakhir hari ini.
Pada program itu, Fadhlina diiringi Ahli Parlimen Kalabakan Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy melawat Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Kalabakan dan SK Kalabakan serta satu tapak projek pembinaan bangunan tambahan SK Umas.
Fadhlina berkata terdapat 390 projek pembangunan sekolah daif di Sabah dengan 230 projek telah disiapkan.
Beliau memberi jaminan KPM akan menyelesaikan isu berkaitan bangunan sekolah yang tidak memiliki sijil layak menduduki termasuk isu tanah sekolah di Parlimen Kalabakan yang menjadi punca sekolah terlibat sukar menerima bantuan.
"Kita (KPM) ambil perhatian isu-isu ini, kita memang mengadakan perbincangan dengan kerajaan negeri dan ini saya fikir komitmen yang cukup besar daripada peringkat KPM untuk memastikan perbincangan bersama (kerajaan) Sabah menyelesaikan isu-isu ini, semuanya dalam proses tindakan kita pada ketika ini," katanya.
Fadhlina berkata KPM juga akan mempertimbangkan permohonan daripada Ahli Parlimen Kalabakan, Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan berkenaan serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk bekerjasama membina asrama desa di SK Kalabakan.
Beliau berkata KPM mahu mengambil beberapa pendekatan terbaik bagi memastikan hal pendidikan anak-anak di Sabah terus terbela.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial