AM

Perak Perluas Pembinaan Loji WTE - Exco

09/05/2025 05:51 PM

KAMPAR, 9 Mei (Bernama) -- Kerajaan Perak dalam perancangan memperluas pembinaan loji memproses sisa pepejal kepada tenaga atau Waste to Energy (WTE) khususnya di kawasan berkepadatan tinggi.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sandrea Ng Shy Ching berkata kerajaan negeri menerusi jawatankuasa pengurusan sisa pepejal sentiasa mencari penyelesaian baharu terhadap isu tapak pelupusan sisa yang memerlukan kawasan luas.

Beliau berkata pembinaan loji WTE merupakan penyelesaian selamat untuk mengatasi isu kekurangan tapak pelupusan sanitari dan peningkatan penjanaan sisa yang semakin ketara setiap tahun.

"Buat masa ini bagi pihak berkuasa tempatan (PBT) di Perak kita ada loji WTE yang dibina oleh Majlis Perbandaran Manjung (MPM) di Teluk Mengkudu, Segari yang bakal beroperasi hujung tahun ini.

"Loji itu menggunakan teknologi baharu pengurusan sisa melalui pelaksanaan sistem WTE - pencernaan anarobik yang sedang diaplikasikan di lokasi tersebut dan sisa pepejal ini akan ditukarkan kepada tenaga elektrik," katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan kerja ke tapak pelupusan sampah dan paun anjing Majlis Daerah Kampar (MDKpr) yang turut dihadiri Yang Dipertua MDKpr Ahmad Suqairy Alias. 

Bagaimanapun Ng berkata kerajaan negeri perlu meneliti pelbagai aspek serta menilai kesesuaian pembinaan loji WTE di kawasan pentadbiran PBT. 

"Kita kena ambil kira jumlah sisa pepejal dikumpulkan di kawasan PBT itu sendiri termasuk lokasi yang bersesuaian, macam di Manjung contohnya lebih 300 tan metrik sehari dan Kampar sekitar 60 tan metrik sahaja. 

"Perbezaan itu perlu diambil kira memandangkan kepadatan penduduk di sesebuah kawasan tersebut, kita akan tumpu kepada kawasan-kawasan yang mempunyai kepadatan tinggi supaya pembinaan loji WTE itu dapat beri kesan besar," katanya. 

Terdahulu, Ng menyarankan semua pemilik anjing peliharaan agar menyertai kempen Perak Pawsitive Initiative iaitu program pemandulan yang dijalankan kerajaan negeri bagi mengurangkan populasi anjing terbiar. 

"Kajian kita anjing terbiar lahir daripada kalangan anjing peliharaan pemilik haiwan itu sendiri, apabila sudah terlalu banyak ada sesetengah pemilik membiarkan anjing berkeliaran di jalanan,” katanya dan menambah bayaran bersubsidi RM100 dikenakan bagi seekor anjing.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan