ALOR SETAR, 9 Mei (Bernama) -- Sultan Kedah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah menasihati jemaah haji agar memperbanyakkan amalan wajib dan sunat serta tidak membuang masa dengan aktiviti lain sepanjang berada di Makkah dan Madinah.
Baginda bertitah agar jemaah turut mematuhi peraturan ditetapkan Tabung Haji (TH) dan kerajaan Arab Saudi demi kelancaran ibadah serta menjaga imej baik negara.
"Elakkan pembaziran masa dengan perkara tidak berfaedah seperti berbual kosong atau bermain telefon bimbit yang boleh mengganggu tumpuan dan ibadah.
“Penuhi masa terluang dengan memperbanyakkan amalan wajib dan sunat seperti berzikir, membaca al-Quran, berdoa dan bermunajat kepada Allah kerana peluang ini mungkin datang hanya sekali seumur hidup.
"Beta juga berharap jemaah haji negeri ini menjaga adab dan menjauhi segala anasir tidak sihat, yang boleh menjejaskan imej serta nama baik negara dan hubungan baik Kerajaan Malaysia dan Arab Saudi," titah baginda pada Majlis Mengucapkan Selamat Jalan Kepada Jemaah Haji Negeri Kedah di sini hari ini.
Turut berangkat Raja Muda Kedah Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin.
Hadir sama Menteri Besar Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Sultan Sallehuddin meminta agar jemaah haji mendoakan negeri ini dan Malaysia terus diberkati, dilimpahi kesejahteraan berpanjangan serta dijauhi daripada sebarang musibah.
"Selain itu, doakan juga supaya saudara kita di Palestin dan negara Islam lain yang masih dalam kesukaran agar diberikan kesabaran dan kekuatan untuk menghadapi ujian serta jalan penyelesaian pada masa hadapan," titah baginda.
Sebanyak 143 bakal jemaah haji Kedah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Abdul Halim ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur sebelum berangkat ke Tanah Suci pada 1.35 pagi esok.
Kedah merekodkan 2,548 jemaah haji bagi musim 1446H/2025M terdiri daripada 1,090 jemaah lelaki dan 1,458 wanita.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial