JENAYAH & MAHKAMAH

Mayat Bayi Ditemukan Terapung Di Sungai Belakang Restoran

09/05/2025 10:52 PM

KUALA LUMPUR, 9 Mei (Bernama) -- Mayat bayi yang masih belum dikenal pasti jantina ditemukan terapung di sebatang sungai di belakang sebuah restoran di Jalan Klang Lama di sini hari ini.

Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kuala Lumpur menerima laporan berhubung perkara itu sekitar 3 petang melalui panggilan kecemasan MERS999.

“Susulan itu, seramai lapan anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Seputeh bersama sebuah jentera dikejarkan ke tempat kejadian.

“Anggota bomba melakukan kerja-kerja mengangkat mayat dan menyerahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” menurut kenyataan PGO JPBM Kuala Lumpur.

Sementara itu, Komander Operasi Sahruddin Mat Noor ketika dihubungi Bernama berkata mayat bayi malang tersebut dipercayai hanyut sebelum ditemukan tersangkut di sungai terbabit.

“Jantina bayi itu tidak dapat dikenal pasti kerana keadaannya yang kurang sempurna,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Ku Mashariman Ku Mahmood berkata siasatan awal mendapati saksi di tempat kejadian menemukan objek seperti mayat tersangkut pada batu di dalam sungai terbabit sebelum menghubungi polis pada 2.05 petang.

“Hasil siasatan mendapati jasad tersebut merupakan bayi lelaki dan masih bertali pusat.

"Proses bedah siasat akan dijalankan esok pada 1 tengah hari di Jabatan Forensik Pusat Perubatan Universiti Malaya,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan cara membuang mayat dengan sulit.

-- BERNAMA

 

 



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan