AM

Produk Perlis Rentas Laut China Selatan Ke PMR 2025 Sabah

10/05/2025 04:27 PM

Oleh Fadzli Ramli

TAWAU, 10 Mei (Bernama) -- Biarpun terpaksa merentas Laut China Selatan, kontinjen Perlis tetap bersemangat membawa produk asli mereka ke Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 Sabah di Dataran Majlis Perbandaran Tawau.

Syazana Afiqah Nahar, Pembantu Tadbir Portfolio Keusahawanan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, berkata lebih 100 unit barangan autentik dibawa khas, termasuk garam belacan, belacan madu, pekasam sepat dan lampam, serta kordial Harumanis.

“PMR 2025 Sabah menjadi platform terbaik untuk memperkenalkan produk dan warisan Perlis kepada rakyat Sabah. Kami juga mengambil kesempatan mempromosikan Visit Perlis 2024–2025 bertemakan ‘Perlis Damai dan Menawan’,” katanya kepada Bernama di Tawau hari ini.

Antara produk menarik ialah kordial Harumanis keluaran Koperasi Pemulihan Dalam Komuniti Anak Istimewa Perlis, yang aktif membantu pembangunan kanak-kanak istimewa dan kurang upaya di negeri itu.

Selain produk makanan, pihak Perlis turut mempromosikan destinasi pelancongan negeri melalui cenderamata seperti magnet peti sejuk yang memaparkan lokasi-lokasi tarikan utama.

“Kami berharap pengunjung Sabah dapat mengenali Perlis bukan sahaja dari segi produk, malah keindahan pelancongannya. Apabila tiba masa melawat, mereka sudah sedia maklum destinasi menarik untuk dikunjungi,” kata Syazana.

Tiada sasaran jualan ditetapkan; fokus utama adalah memperkenalkan keragaman produk, warisan dan maklumat negeri Perlis kepada pengunjung.

Nuri Juliana Majuntis, 45, seorang guru sekolah menengah di Tawau, berkata peluang membeli pekasam lampam dari Perlis membangkitkan nostalgia lawatan beliau dua tahun lalu.

“Saya memang penggemar pekasam lampam Perlis. Rasanya unik, tidak sama dengan pekasam lain. Dapat beli di sini, saya sangat gembira dan membeli banyak untuk keluarga,” katanya.

“Proses pembuatan pekasam di Perlis istimewa, mungkin kerana kaedah turun-temurun. Rasa masinnya ‘pas-pas’, tidak terlalu kuat dan ikan kekal segar,” tambahnya.

Irmawati Abdul Kadir, 38, pegawai bank, pula teruja mencuba kordial Harumanis yang rasanya serupa dengan mangga segar Harumanis Perlis.

“Mengetahui ia dihasilkan daripada mangga Harumanis asli, saya terus membeli. Walaupun stok terhad, saya akan tempah secara atas talian untuk simpanan di rumah,” katanya.

Reruai Perlis dikendalikan Bahagian Perancangan Ekonomi Negeri dan terletak dalam kawasan jualan PMR 2025 Sabah.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan