KUALA LUMPUR, 11 Mei (Bernama) -- Gabungan parti dalam Kerajaan MADANI, khususnya Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH), perlu disertai dengan kerjasama erat antara parti di peringkat pusat dan negeri bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 akan datang.
Pengerusi BN yang juga Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata BN tidak bercadang untuk bergerak secara bersendirian dalam menghadapi pilihan raya negeri itu.
“BN, PH bukan satu plus sahaja tetapi ‘plus, plus, plus’ dan ini melihatkan keterbukaan kita (untuk bekerjasama dengan parti di Sabah). Pastinya, bukan hanya parti politik dari Semenanjung dan bukan juga semata-mata parti politik Sabah,” katanya.
Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari UMNO ke-79 dan Konvokesyen Sekolah Patriotik UMNO (SPU), di Pusat Dagangan Dunia, di sini hari ini.
Beliau berkata kerjasama menyeluruh antara parti di semua peringkat amat penting bagi memastikan pembangunan yang dirancang untuk Sabah dapat diteruskan sekiranya gabungan Kerajaan MADANI memperoleh kemenangan dalam PRN itu.
Sementara itu, Ahmad Zahid menasihatkan semua ahli parti dalam Kerajaan MADANI supaya tidak membangkitkan isu pembahagian kerusi, khususnya menjelang mana-mana pilihan raya negeri.
“Jangan terbawa-bawa dengan emosi atau membuat analisis mengikut pandangan masing-masing. Soal pembahagian kerusi dan sebagainya perlu diserahkan kepada pucuk pimpinan.
“Kami di peringkat tertinggi sentiasa mengadakan pertemuan dan rundingan. Namun setakat ini, perkara itu belum dibincangkan, jadi ia tidak seharusnya dibangkitkan,” tegasnya.
Beliau mengulas kenyataan Exco Pemuda AMANAH Fadhli Umar Aminolhuda, yang menyelar tindakan Ketua Pemuda UMNO Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh, kerana menolak cadangan formula agihan kerusi 14:14 antara PH dan BN bagi menghadapi PRN Melaka.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial