AM

Ibu Bapa Disaran Main Peranan Untuk Jayakan PLKN 3.0

12/05/2025 05:36 PM

KUALA LIPIS, 12 Mei (Bernama) -- Ibu bapa perlu memainkan peranan sebagai penjaga untuk mengingatkan anak mereka agar segera mendaftar bagi menjalani Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 Siri 2/2025.

Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari berkata ini kerana pihaknya mendapati masih ada dalam kalangan mereka yang terpilih belum berbuat demikian walaupun sedia maklum mengenai hal itu.

"Kalau kita lihat pendaftaran yang kita sasarkan adalah sekitar 550 pelatih PLKN melibatkan 350 lelaki dan 200 wanita tetapi sehingga semalam, hanya 206 pelatih lelaki dan 138 pelatih wanita yang mendaftar.

"Saya menyeru bukan sahaja pelatih tetapi ahli keluarga juga harus mengambil tanggungjawab bagi memastikan program berkenaan dapat dilaksanakan dengan jayanya bagi siri ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa mengadakan lawatan kebajikan dan menyantuni veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Pahang menerusi Program Peduli Veteran MADANI di Kampung Bapong di sini hari ini.

Sepanjang program dua hari itu, Adly dijadual bertemu 14 veteran ATM di Raub serta 16 di Kuala Lipis dan dua daripada mereka adalah usahawan.

Beliau turut menyampaikan Pingat Jasa Malaysia (PJM) kepada tiga balu yang mewakili suami masing-masing dan sumbangan peralatan perniagaan kepada usahawan veteran ATM.

Adly juga berkata pelatih yang terpilih namun belum melaporkan diri masih berpeluang berbuat demikian di kem yang ditetapkan hingga 16 Mei ini.

"Kita harap mereka yang sudah terpilih melaksanakan pendaftaran kerana kita tahu ini adalah sebahagian daripada inisiatif untuk memberikan latihan kepada generasi muda.

"Program PLKN ini amat penting untuk meningkatkan jati diri dan menyedarkan mereka akan kepentingan menjalankan tanggungjawab kepada negara," katanya.

Beliau berkata terdapat juga individu yang mendaftar secara sukarela bagi mengikuti PLKN namun pihaknya memberi keutamaan kepada mereka yang terpilih sebelum melaksanakan sebarang penggantian.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan