AM

Sidang Kemuncak ASEAN: Orang Ramai Disaran Guna Pengangkutan Awam - Fahmi

14/05/2025 05:42 PM

PUTRAJAYA, 14 Mei (Bernama) -- Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil hari ini menyarankan orang ramai di Lembah Klang untuk menggunakan pengangkutan awam sepanjang penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN di ibu negara hujung bulan ini.

Bercakap pada sidang media mingguan Kabinet di Kementerian Komunikasi hari ini, Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan MADANI berkata persidangan itu berlangsung pada 26 dan 27 Mei ini di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC). 

“Sempena sidang kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan Sidang Kemuncak Ekonomi ASEAN-GCC-China, sejumlah ketua kerajaan dan ketua negara akan tiba di Malaysia sama ada di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS), Subang atau Lapangan Terbang Antarabanga Kuala Lumpur (KLIA), Sepang.

“Beberapa laluan pada waktu tertentu akan dikhususkan untuk perjalanan ketua-ketua negara atau ketua-ketua kerajaan,” katanya.

Fahmi berkata Jemaah Menteri hari ini turut dimaklumkan mengenai peningkatan penggunaan perkhidmatan awam sebanyak 50 peratus semasa lawatan negara Presiden China Xi Jinping ke Malaysia bulan lepas. 

Mengenai senarai sekolah yang terlibat dengan pengajaran serta pembelajaran di rumah (PdPR), beliau berkata perkara itu akan diumumkan oleh Kementerian Pendidikan (KPM) dalam masa terdekat.

“KPM dalam tempoh yang terdekat akan mengumumkan jumlah sekolah yang akan diberikan kelonggaran untuk melaksanakan pembelajaran dalam talian atau PdPR,” katanya.

Bagi penjawat awam, Fahmi mengulangi kenyataan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) baru-baru ini mengenai kebenaran Bekerja Dari Rumah (BDR) sepanjang persidangan berlangsung.

Selain itu, beliau turut menggalakkan majikan sektor swasta agar memberikan kelonggaran sama bagi mengelakkan pekerja terkesan akibat kesesakan trafik.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 menghimpunkan 10 pemimpin negara anggota blok itu, bagi membincangkan isu serantau serta memupuk kerjasama ekonomi, selain memperjuangkan prinsip keterangkuman dan kemampanan.

Malaysia mengambil alih kepengerusian ASEAN pada 1 Jan 2025 daripada Laos dengan tema Keterangkuman dan Kemampanan, yang mencerminkan aspirasi negara untuk membina ASEAN yang bersatu serta makmur.

Ini merupakan kali kelima Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN selepas memegang jawatan itu pada tahun 1977, 1997, 2005 dan 2015.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan