MACHANG, 15 Mei (Bernama) -- Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) merekodkan sebanyak 351,369 perniagaan dalam talian berdaftar dengan agensi itu sehingga 30 April, sekali gus menunjukkan peningkatan mendadak dalam tempoh lima tahun lepas.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Kawal Selia dan Penguatkuasaan) SSM Amir Ahmad berkata trend itu didominasi oleh usahawan muda berusia 35 tahun ke bawah.
“Daripada jumlah itu, 77,540 peniaga terdiri daripada golongan pelajar, termasuk kira-kira 9,000 pelajar dari Kelantan yang mendaftarkan perniagaan mereka dengan SSM,” katanya kepada Bernama selepas merasmikan Program Mahasiswa dan Masa Depan: Cabaran Kerjaya dan Keusahawanan di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Kelantan di sini hari ini.
Beliau berkata perkembangan itu mencerminkan peningkatan budaya keusahawanan dalam kalangan pelajar, sekali gus menjadikan keusahawanan sebagai satu kerjaya pilihan untuk menjana pendapatan.
Amir berkata SSM menyokong penuh usaha generasi muda untuk memiliki perniagaan sendiri melalui pelbagai inisiatif termasuk Skim Pendaftaran Perniagaan Percuma yang dibiayai kerajaan, khusus untuk pelajar dan golongan B40.
Beliau berkata pendaftaran perniagaan bukan sahaja memberi keyakinan kepada pengguna, malah membuka peluang kepada usahawan untuk mendapat pelbagai bantuan susulan daripada kerajaan.
“Langkah ini juga penting dalam melindungi hak pengguna yang kini semakin terdedah kepada penipuan jualan oleh pihak tidak bertanggungjawab,” katanya.
Sementara itu, Rektor UiTM Cawangan Kelantan Prof Dr Mohd Afandi Mat Rani berkata program anjuran SSM itu selari dengan matlamat Agenda Pembangunan Mampan 2030 dan aspirasi Malaysia MADANI yang digagaskan kerajaan.
“Ini adalah langkah ke arah melahirkan generasi yang kompeten, berdaya saing serta peka terhadap pembangunan ekonomi dan sosial yang lestari, berpaksikan nilai kemanusiaan, kemakmuran dan inovasi dalam kerangka Malaysia Madani,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial