AM

Jabatan Penjara Malaysia Fokus Laksanakan Agenda Reformasi Penjara

16/05/2025 12:09 PM

KUALA LUMPUR, 16 Mei (Bernama) -- Menjangkau usia 235 tahun pada tahun ini, pelaksanaan agenda Reformasi Penjara menjadi fokus utama Jabatan Penjara Malaysia.

Komisioner Jeneral Penjara Datuk Abdul Aziz Abdul Razak berkata agenda tersebut merupakan usaha berterusan memperkukuh sistem pemulihan, pengurusan dan infrastruktur penjara negara, selari dengan matlamat pemulihan berasaskan nilai kemanusiaan.

“Fokus agenda ini melibatkan empat teras utama iaitu mengurangkan kesesakan penjara, menggantikan fasiliti usang, menambah baik undang-undang serta meningkatkan keberkesanan program pemulihan melalui pengukuran kadar residivis (kemasukan semula banduan) yang ketika ini di tahap 12.4 peratus,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata bagi menangani isu kesesakan, Jabatan Penjara telah menyewa 10 bekas Kem PLKN sebagai penjara kemasukan (admission prison) dengan kapasiti 4,650 orang, manakala enam lagi kem dijadikan Pusat Reintegrasi Penghuni (PRP) dengan kapasiti 2,880 orang.

Abdul Aziz berkata meskipun penjara Malaysia sesak dengan 86,917 prospek (banduan) menghuni penjara berkapasiti 74,146 di seluruh negara berdasarkan maklumat pada Mac tahun ini, langkah yang diperkenalkan pada 2020 itu sehingga kini berjaya mengurangkan kesesakan sebanyak 10.15 peratus.

Mengulas lanjut, beliau berkata enam penjara usang iaitu di Pulau Pinang, Taiping, Muar, Batu Gajah, Seremban dan Pengkalan Chepa telah dikenal pasti untuk digantikan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).

Sementara itu, Abdul Aziz berkata Jabatan Penjara sedang menuju ke arah evolusi iaitu beralih daripada sistem kepenjaraan keadilan punitif yang memberi tumpuan hukuman kepada penjenayah kepada hukuman restoratif dan rehabilitasi.

Antaranya ialah menerusi pelaksanaan Sistem Parol bagi pembebasan awal prospek terpilih yang memenuhi syarat menerusi seliaan dan pantauan oleh Pegawai Parol Daerah di seluruh Malaysia.

Beliau berkata sehingga 20 Mac lepas 2,161 prospek sedang menjalani parol dan sejak ia diperkenalkan pada 2008, 60,833 prospek telah dilepaskan dengan kadar pelanggaran syarat parol hanya 2.57 peratus.

“Pegawai Parol Daerah bertanggungjawab melaksanakan program intervensi melibatkan program kaunseling, kelas agama serta menjalankan program bersama masyarakat sebagai satu proses asimilasi penghuni dalam masyarakat,” katanya.

Abdul Aziz bagaimanapun berkata pelaksanaan program parol tidak terlepas daripada cabaran, termasuk kesukaran menempatkan prospek dalam sektor pekerjaan, kekurangan penempatan bagi prospek masalah kesihatan mental dan warga emas serta kurangnya sokongan masyarakat.

“Untuk 2025, kita memberi tumpuan kepada Program Corporate Smart Internship (CSI) dengan sasaran ia dapat menyediakan 8,500 peluang pekerjaan bagi prospek yang dibebaskan awal, sekali gus membantu negara mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing,” katanya.

Mengulas mengenai sambutan Hari Penjara ke-235 di Padang Kota Lama, Georgetown, Pulau Pinang pada 17 Mei ini, beliau berkata ia bertemakan ‘Peradaban Manusiawi Perkukuh Masyarakat Madani’ dan dijangka menghimpunkan warga Jabatan Penjara dari seluruh negara, dan ia dibuka kepada orang ramai.

Abdul Aziz berkata sambutan akan dimeriahkan dengan pelbagai pameran dan penceritaan sejarah  mengenai fungsi institusi penjara yang kini berubah wajah selari dengan kemajuan negara.

Signifikan Pulau Pinang dipilih sebagai lokasi sambutan berkenaan pada tahun ini ialah kerana penjara moden pertama di Malaysia terletak di Fort Cornwallis yang dibina pada 1790.

–  BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan