DUNIA

ILO Perluas Inisiatif “Ship To Shore Rights” Di ASEAN Untuk Lindungi Nelayan

17/05/2025 02:49 PM

Oleh Vijian Paramasivam

PHNOM PENH, 17 Mei (Bernama) -- Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) mengambil langkah tegas untuk melibatkan kerajaan ASEAN bagi melindungi hak dan kebajikan pekerja migran dalam industri perikanan Asia Tenggara.

Projek bernilai US$12 juta yang dibiayai Kesatuan Eropah (EU) itu bertujuan menangani cabaran berterusan yang dihadapi oleh nelayan yang terdedah dan sektor pemprosesan makanan laut.

Program serantau “Ship to Shore Rights” yang dibiayai EU itu bertujuan melindungi migrasi buruh dalam sektor perikanan, melibatkan negara Kemboja, Indonesia, Malaysia, Myanmar, Filipina dan Thailand.

“Terdapat peningkatan tekanan ke atas banyak negara pengeluar di Asia Tenggara daripada EU, Amerika Syarikat (AS) dan negara pasaran utama lain yang ingin memastikan rantaian bekalan ikan dan makanan laut bebas daripada buruh paksa dan buruh kanak-kanak, terutamanya terhadap pekerja migran.

“Kerajaan di rantau ini tidak mahu kehilangan akses pasaran kerana sekatan ini boleh memberi kesan yang sangat negatif kepada ekonomi mereka,” kata Pakar Teknikal Program "Ship to Shore Rights" Asia Tenggara, Benjamin Harkins dari Pejabat Serantau ILO untuk Asia dan Pasifik, kepada Bernama dari Bangkok.

Ekonomi biru merupakan sumber pekerjaan yang penting di Asia Tenggara.

Pada 2020, Asia menjadi tempat tinggal lebih 19 juta penternak ikan dan 30 juta nelayan, menyumbang 84 peratus daripada keseluruhan pekerja dalam sektor perikanan dan akuakultur di seluruh dunia, menurut ILO.

Bagaimanapun, industri perikanan, yang menjadi nadi ekonomi bagi banyak negara, terus berdepan cabaran seperti kebanjiran pekerja migran tanpa dokumen, gaji rendah, penderaan di atas kapal, pemerdagangan manusia dan kekurangan perlindungan keselamatan sosial.

Keadaan itu diburukkan lagi dengan amalan penangkapan ikan tidak terkawal dan penangkapan ikan berlebihan di beberapa wilayah yang mengurangkan populasi ikan global, kata pakar.

Apabila produktiviti industri merosot, majikan sering mengurangkan kos dengan mengeksploitasi pekerja dalam sektor perikanan dan akuakultur.

Pekerja migran sering mengambil pekerjaan berkenaan. Sektor perikanan dan akuakultur kurang menarik minat penduduk tempatan yang menganggap pekerjaan itu sebagai bergaji rendah, memerlukan tenaga fizikal dan berbahaya.

Program "Ship to Shore Rights" merupakan inisiatif serantau selama empat tahun oleh ILO dengan kerjasama Pertubuhan Antarabangsa untuk Migrasi (IOM) dan Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP).

Program itu pertama kali dilaksanakan di Thailand pada 2017 bagi menangani keadaan kerja yang buruk dalam industri perikanan dan pemprosesan makanan laut. Kini, program itu memasuki fasa ketiga.

ILO berkata projek itu akan diperluaskan ke Malaysia, yang merupakan pengeluar utama perikanan tangkapan marin dan destinasi pekerja migran.

“Merealisasikan komitmen yang terkandung dalam Deklarasi dan Garis Panduan ASEAN mengenai Penempatan dan Perlindungan Nelayan Migran adalah satu daripada fokus utama kami. Kami akan bekerjasama rapat dengan badan ASEAN dan negara anggota ASEAN untuk membangunkan pelan kerja dan alat operasi dalam beberapa tahun akan datang.

“Program "Ship to Shore Rights" Asia Tenggara adalah model terbukti berkesan dalam menyokong migrasi selamat bagi pekerjaan bermaruah dalam ekonomi biru. Kami realistik tentang skala cabaran yang terlibat tetapi juga sangat optimistik bahawa kami boleh mencapai lebih banyak kemajuan dalam tempoh empat tahun akan datang,” kata Harkins.

ILO telah menubuhkan 23 Pusat Sumber Pekerja Migran (MRC) di seluruh rantau ini dan merancang untuk menubuhkan sebuah lagi MRC bagi menyediakan maklumat serta bantuan kepada nelayan migran dan pekerja pemprosesan makanan laut di Malaysia.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan