AM

MCMC Berhak Panggil Individu Jalankan Siasatan Sekiranya Ada Aduan

17/05/2025 03:28 PM

JOHOR BAHRU, 17 Mei (Bernama) -- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berhak memanggil mana-mana individu bagi menjalankan siasatan sekiranya mendapat sebarang aduan.

Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata kertas siasatan akan dibuka dan tindakan diambil berdasarkan siasatan yang telah dijalankan.

Ia susulan tindakan MCMC memanggil seorang pempengaruh media sosial yang menawarkan diri untuk membuat carian latar belakang terperinci (scrut) terhadap Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Nurul Izzah Anwar.

"Biasanya, kalau ada aduan pihak (MCMC) akan buka kertas siasatan untuk buat siasatan dan selepas itu mereka akan serahkan kepada agensi berkaitan.

"Kalau ada aduan kebiasaannya MCMC rasa ada keperluan, maka mereka berhak untuk mengambil tindakan," katanya pada sidang media selepas merasmikan Karnival Kita MADANI X Program MADANI Rakyat (PMR) di Dewan Serbaguna PPR Sri Stulang, di sini hari ini.

Ketika ditanya mengenai pandangan orang ramai bahawa tindakan memanggil pempengaruh berkenaan agak keras, Teo berkata MCMC perlu memberi penjelasan berhubung perkara itu.

"Saya rasa MCMC perlu jelaskan kenapa mereka panggil dan lazimnya, selepas siasatan akan diserah kepada agensi (berkaitan) sama ada, terdapat kes atau tidak," katanya.

Baru-baru ini, seorang pempengaruh media sosial yang dikenali sebagai Aliff Ahmad dipetik mendakwa dipanggil MCMC selepas dipercayai menawarkan diri untuk melakukan "scrut" mengenai kerja dan sumber pendapatan Nurul Izzah sekiranya mendapat 20,000 perkongsian melalui Facebook.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan