JENAYAH & MAHKAMAH

Jurutera Kilang Rugi RM300,000 Ditipu Sindiket Pelaburan Dalam Talian

17/05/2025 06:24 PM

GEORGE TOWN, 17 Mei (Bernama) -- Seorang jurutera kilang kerugian RM300,000 selepas menjadi mangsa penipuan pelaburan dalam talian, baru-baru ini.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Hamzah Ahmad berkata polis menerima aduan daripada lelaki berusia 55 tahun itu semalam, memaklumkan telah diperdaya sindiket berkenaan.

“Awal April lepas, mangsa memberitahu telah melihat satu iklan pelaburan berkonsepkan jual beli saham melalui aplikasi Facebook yang menjanjikan pulangan keuntungan tinggi dalam masa singkat dan mula berhubung dengan suspek, seorang wanita melalui aplikasi Whatsapp. 

“Jurutera itu yang berminat untuk menyertai pelaburan berkenaan kemudian telah diminta memuat turun satu aplikasi dan mendaftar sebagai ahli, seterusnya membuat pelaburan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hamzah berkata mangsa telah melakukan tujuh transaksi memasukkan wang ke dalam satu akaun atas nama sebuah syarikat bagi pelaburan itu.

Beliau berkata mangsa kemudian ke kaunter bank untuk membuat transaksi tambahan sebanyak RM52,800 tetapi tidak dibenarkan pihak bank yang memaklumkan dia sebenarnya telah menjadi mangsa penipuan.

Susulan itu, Hamzah berkata mangsa tampil membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan