CYBERJAYA, 17 Mei (Bernama) -- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan mengkaji perbezaan liputan rangkaian 4G di kawasan berpenduduk (CoPA) antara syarikat telekomunikasi (telco) di pelbagai lokasi.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata meskipun liputan 4G Malaysia telah mencapai agregat keseluruhan CoPA sebanyak 92 peratus di Sarawak dan 98.7 peratus di seluruh negara pada suku pertama 2025, kadar sebenar adalah berbeza dalam kalangan telco.
“Sesetengah telco mencapai agregat serendah 76 peratus CoPA manakala yang lain ada yang mampu mencecah 86 peratus,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan sambutan Hari Telekomunikasi dan Masyarakat Berinformasi Sedunia (WTISD) 2025 di sini hari ini.
Fahmi berkata beliau telah mengarahkan MCMC untuk memperinci agregat CoPA secara individu dan di peringkat nasional setiap telco mengikut negeri.
“Kami ingin memastikan apabila rakyat Malaysia membayar untuk pakej Internet, mereka bukan sekadar mendapat liputan di beberapa kawasan. Kita (rakyat Malaysia) membayar untuk mendapatkan liputan Internet di seluruh negara,” katanya.
Fahmi berkata perkhidmatan 4G hendaklah boleh diakses di seluruh negara dan kerajaan telah berusaha untuk memastikan perkongsian rangkaian yang lebih baik dalam kalangan syarikat telco.
“Perkhidmatan itu (4G) harus tersedia di seluruh negara... saya telah berusaha sedaya mungkin untuk memastikan semua syarikat telco mendapat perkongsian rangkaian dan kami telah memformalkan perkara ini menerusi satu rangka kerja yang kami terbitkan baru-baru ini,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Fahmi berkata Akta Keselamatan Dalam Talian (OnSA) 2024 yang bakal dikuat kuasa tidak lama lagi dijangka memainkan peranan penting bagi memastikan platform media sosial bertanggungjawab terhadap kandungan yang mereka muat naik terutama dalam melindungi pengguna daripada penipuan dan bahaya lain dalam talian.
Beliau berkata OnSA akan memaksa platform terbabit berkongsi tanggungjawab dalam mencipta persekitaran digital yang lebih selamat.
“Peranan utama akta ini ialah memastikan platform media sosial turut mengambil bahagian dan bertanggungjawab bagi jenis kandungan yang boleh didapati di platform mereka,” katanya.
Merujuk kepada penyebaran iklan yang menipu, Fahmi melahirkan kebimbangan terhadap ketiadaan atau kekurangan tindakan oleh platform besar seperti Facebook dalam memadam atau mengeluarkan kandungan berbahaya terutama jika ia adalah berbayar.
“Sebagai contoh, terdapat banyak iklan perjudian dan penipuan tetapi Facebook tidak banyak mengambil tindakan untuk memadam atau mengeluarkannya kerana ia adalah berbayar. Penipu telah membayar untuk semua iklan ini.
“Oleh itu, kami kini menunggu Akta Keselamatan Dalam Talian mendapat perkenan diraja dan sebaik sahaja ia dikuat kuasa, kami percaya OnSA akan memainkan peranan yang penting,” katanya.
Parlimen telah meluluskan OnSA pada Disember tahun lepas dan jika ia dikuatkuasakan, akta itu mewajibkan penyedia platform media sosial memenuhi tiga tanggungjawab utama iaitu memastikan keselamatan platform, melindungi kanak-kanak di bawah umur 13 tahun dan mengehadkan akses kepada kandungan berbahaya.
Platform terbabit juga dikehendaki mengeluarkan garis panduan pengguna yang jelas termasuk terma-terma penggunaan dan menyediakan mekanisme untuk pengguna melaporkan kandungan berbahaya serta ofensif.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial