AM

Beruang Matahari Ceroboh Kediaman Penduduk Berjaya Ditangkap

17/05/2025 09:46 PM

KUANTAN, 17 Mei (Bernama) -- Seekor beruang matahari berjaya ditangkap pihak berkuasa selepas menceroboh masuk sebuah kediaman di Taman Tanah Putih, Pekan hari ini. 

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Pekan Kapt (PA) Ahmad Azmi Nafiah berkata haiwan itu telah memecahkan beberapa barangan di rumah berkenaan, dipercayai dalam usaha mencari makanan kira-kira 4.30 pagi tadi. 

“Beruang itu kemudiannya telah memanjat keluar dan disyaki merupakan haiwan peliharaan yang terlepas daripada jagaan pemilik di kawasan taman berhampiran,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Ahmad Azmi berkata sepasukan anggota Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) turut ke lokasi kejadian, selain lima anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pekan yang dikerahkan sebaik menerima panggilan kecemasan pada 8.36 pagi.

Beliau berkata kakitangan Perhilitan telah melepaskan tembakan ubat pelali dan beruang itu kemudian dibawa ke Perhilitan Kuantan untuk tindakan selanjutnya.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan