KUALA LUMPUR, 18 Mei (Bernama) -- Polis telah merakam keterangan tiga anak Datin Seri Pamela Ling Yueh di Singapura bagi membantu siasatan kes kehilangan wanita berkenaan, semalam.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd Isa berkata selain tiga anak Pamela berusia 18 hingga 20 tahun, polis turut merakam keterangan seorang individu yang juga rakan kepada keluarga wanita itu di Ibu Pejabat Polis Woodlands.
“Ada maklumat yang boleh membantu siasatan terutama tentang pergerakan terakhir Pamela. Antaranya dia masih berhubung dengan keluarganya pada 8 dan 9 April lepas,” katanya kepada pemberita ketika hadir Program Kesejahteraan Komuniti Bandar Selamat ‘PPR Bestari’ di sini, hari ini.
Pada 9 April lepas, Pamela, 42, dilaporkan hilang ketika dalam perjalanan ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya dengan menaiki kereta perkhidmatan e-panggilan.
Laporan polis berhubung kehilangannya diterima pada 3.02 petang hari yang sama.
Sehingga kini, polis telah merakam keterangan seramai 42 saksi bagi membantu siasatan dan masih belum berhasil mengesan sebarang rekod pergerakan Pamela ke luar negara.
Bagaimanapun, pihak berkuasa tidak menolak kemungkinan beliau keluar negara menggunakan laluan tidak sah.
Mengenai suami Pamela yang ditahan pada 15 Mei lepas, Rusdi memaklumkan lelaki tersebut dibebaskan dengan jaminan polis keesokan harinya selepas permohonan reman ditolak oleh mahkamah.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial