EKONOMI

GE Aerospace Mahu Terus Perluas Operasi Di Malaysia Dan Asia Pasifik

19/05/2025 11:19 AM

 

Daripada Kisho Kumari Sucedaram 

BEIJING, 19 Mei (Bernama) – GE Aerospace merancang untuk terus memperluas operasinya di Malaysia dan rantau Asia Pasifik sambil memperkukuh keupayaan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO).

Rancangan itu bagi memenuhi permintaan global yang semakin meningkat dalam sektor penerbangan.

Naib Presiden Jualan GE Aerospace bagi Asia Pasifik Nakul Gupta berkata Malaysia kekal sebagai hab strategiknya dengan kemudahan syarikat di Subang, Selangor memainkan peranan penting dalam operasi serantau dan global.

“Ditubuhkan pada 1997 sebagai Pusat Kecemerlangan untuk enjin CFM56, lokasi kami di Malaysia berkembang menjadi hab MRO yang penting selain menyokong lebih daripada 50 syarikat penerbangan di seluruh dunia.

“Lokasi ini kini berfungsi sebagai Pusat Kecemerlangan Asia untuk perkhidmatan MRO LEAP dan kini menggajikan lebih 700 profesional mahir,” katanya kepada Bernama baru-baru ini,.

Beliau juga berkata penyedia enjin jet dan turboprop itu sedang berusaha untuk meningkatkan lagi kapasiti operasinya.

Beliau berkata, pengembangan ini didorong oleh model operasi proprietari syarikat, FLIGHT DECK dan dijangka mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berkemahiran tinggi di Malaysia.

Pada 2018, GE Aerospace membuat pelaburan besar berjumlah US$80 juta bagi menaik taraf kemudahan di Subang yang membolehkan pengenalan perkhidmatan MRO bagi enjin CFM LEAP.

Ia merupakan keupayaan pertama seumpamanya bagi GE Aerospace di luar Amerika Syarikat.

“Dengan permintaan yang terus meningkat, kami komited untuk melabur dalam aspek infrastruktur dan pembangunan bakat bagi memastikan kami dapat menyokong pelanggan secara berkesan dan mampan,” katanya.

Selain itu, Nakul berkata pelaburan syarikat sebanyak US$45 juta di Asia Pasifik pada tahun lepas merupakan bukti komitmen syarikat itu untuk memperkukuh teknologi pembaikan serta mengurangkan masa pemulihan.

“Pelaburan serantau ini merupakan sebahagian daripada pelaburan MRO global GE Aerospace berjumlah US$250 juta untuk pembaikan dan komponen pada 2024 yang menyumbang kepada komitmen lebih luas sebanyak US$1 bilion dalam tempoh lima tahun,” jelasnya.

Beliau seterusnya berkata dana pelaburan ini digunakan untuk memperluas kemudahan, meningkatkan langkah keselamatan selain memperoleh sel ujian baharu, perkakas serta peralatan di seluruh kemudahan di Singapura, Malaysia, Taiwan dan Korea Selatan.

Di Asia Tenggara, beliau berkata kehadiran GE Aerospace merentasi Malaysia ke Singapura apabila kemudahan di Singapura menyumbang lebih 60 peratus daripada jumlah pembaikan global syarikat dan merupakan perintis dalam penggunaan teknologi pembuatan tambahan untuk membaiki komponen enjin jet.

“Teknologi pembuatan tambahan membolehkan kami menyelesaikan pembaikan sehingga 60 peratus lebih pantas dengan jejak yang jauh lebih kecil selain membolehkan pemulihan pesawat yang lebih cepat untuk pelanggan kami,” kata Nakul.

Bagi menyokong permintaan yang semakin meningkat, beliau berkata syarikat terus meningkatkan kemahiran tenaga kerjanya dalam teknologi penerbangan terkini seperti automasi, robotik dan pembuatan tambahan.

Dari segi kelestarian, beliau berkata semua enjin GE Aerospace dan CFM kini disahkan untuk beroperasi dengan campuran bahan api penerbangan lestari (SAF) yang diluluskan bersama-sama 10 model enjin yang diuji menggunakan 100 peratus SAF setakat ini.

“GE Aerospace juga bekerjasama rapat dengan pengeluar, pengawal selia dan pembuat dasar bagi mempercepatkan penerimaan dan kemampuan SAF,” katanya.

GE Aerospace merupakan penyedia global bagi enjin jet dan turboprop serta sistem bersepadu untuk pesawat komersial, ketenteraan, perniagaan dan penerbangan am.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan