JENAYAH & MAHKAMAH

Mahkamah Tinggi Benar Permohonan Pamela Ling Cabar Waran Tangkap, Sekatan Perjalanan

19/05/2025 02:43 PM

KUALA LUMPUR, 19 Mei (Bernama) -- Mahkamah Tinggi di sini hari ini memberi kebenaran kepada Datin Seri Pamela Ling Yueh untuk memulakan prosiding semakan kehakiman, bagi mencabar waran tangkap dan sekatan perjalanan yang dikenakan terhadapnya tahun lepas.

Hakim Datuk Amarjeet Singh membuat keputusan itu, selepas mendapati terdapat isu yang boleh dibicarakan dalam kes tersebut dan menetapkan 3 Jun untuk pengurusan kes.

Pada prosiding itu, Ling diwakili peguam Datuk Malik Imtiaz Sarwar manakala Peguam Kanan Persekutuan Mohd Faisal Md Nor mewakili responden.

Pada 7 April, Ling, 42, selaku pemohon memfailkan permohonan semakan kehakiman dengan menamakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia, sebagai responden pertama dan kedua.

Sementara itu, pada 9 April wanita itu dilaporkan hilang ketika dalam perjalanan ke Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya, dengan menaiki kereta perkhidmatan e-panggilan.

Dalam permohonannya, Ling yang menetap di Singapura sejak 2008, memohon perintah untuk membatalkan dengan serta-merta waran tangkap bertarikh 2 Dis 2024, yang dikeluarkan Mahkamah Majistret Johor Bahru terhadap beliau.

Ibu tiga anak itu turut memohon deklarasi bahawa responden pertama (SPRM) tidak mempunyai kuasa untuk melarang secara langsung atau tidak langsung seseorang daripada meninggalkan Malaysia, kecuali dalam cara yang diperuntukkan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

Pemohon juga memohon perintah supaya SPRM memulangkan telefon mudah alihnya dengan serta-merta, dan perintah mandamus terhadap responden kedua untuk membenarkan pemohon meninggalkan Malaysia selain menuntut ganti rugi SGD20,401.14 dan RM70,000 serta kos.

Ling dalam afidavit sokongannya mendakwa SPRM tidak mempunyai sebarang kuasa untuk mengarahkan pihak berkuasa imigresen menyekat perjalannya sejak Oktober 2024 sehingga kini, selain mendakwa tujuan penangkapan, reman dan sekatan perjalanan yang dikenakan terhadapnya adalah untuk memberi tekanan kepadanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan