KUALA LUMPUR, 19 Mei (Bernama) -- Jumlah volum industri (TIV) sektor automotif Malaysia susut 16.8 peratus kepada 60,527 unit pada April berbanding Mac, kata Persatuan Automotif Malaysia (MAA).
“TIV tahun hingga kini (YTD) adalah 5.8 peratus lebih rendah berbanding tempoh yang sama pada 2024,” katanya dalam satu kenyataan.
MAA berkata jualan lebih rendah pada April adalah berikutan cuti Hari Raya yang panjang dan penghantaran sempena perayaan yang tinggi pada Mac.
MAA berkata pada asas tahun ke tahun, TIV bagi April 2025 meningkat satu peratus daripada 59,900 unit yang direkodkan setahun sebelumnya, dengan 55,971 kenderaan penumpang dan 4,556 kenderaan komersial berjaya dijual.
Bagi pengeluaran, katanya, keseluruhan 56,313 unit dikeluarkan pada April 2025, susut dua peratus daripada setahun sebelumnya, membabitkan 52,925 kenderaan penumpang dan 3,388 kenderaan komersial.
Mengenai prospek industri pada Mei, MAA menjangkakan TIV adalah lebih tinggi berbanding April berikutan sambutan perayaan Kaamatan dan Gawai di Malaysia Timur pada akhir bulan itu.
“Bilangan hari bekerja yang lebih tinggi pada bulan Mei berbanding April dan pelancaran model baharu (juga dijangka meningkatkan jualan),” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial