DUNIA

Tentera Israel Serang Gudang Perubatan Di Hospital Nasser, Gaza

19/05/2025 08:22 PM

ANKARA, 19 Mei (Bernama-Anadolu) -- Tentera Israel pada pagi Isnin menyasarkan sebuah gudang yang menyimpan cecair perubatan dan bekalan di Kompleks Perubatan Nasser di Khan Younis, selatan Semenanjung Gaza, di tengah-tengah serangan genosid yang berterusan sejak Oktober 2023, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Kementerian Kesihatan Gaza memuat naik imej di media sosial yang menunjukkan kesan serangan tentera Israel ke atas gudang bekalan perubatan di dalam kompleks tersebut.

Gambar-gambar itu menunjukkan kemusnahan besar terhadap cecair perubatan, bekalan, dan peralatan penting berikutan serangan tentera Israel.

Serangan ini berlaku sehari selepas tentera Israel mengumumkan pelancaran serangan darat di beberapa kawasan di Gaza sebagai sebahagian daripada "Operation Gideon's Chariots," menandakan peningkatan berbahaya dalam perang genosid yang sedang berlangsung di wilayah Palestin tersebut.

Minggu lalu, tentera Israel menyerang Kompleks Perubatan Nasser, hospital terbesar di Gaza, menyebabkan kematian dan kecederaan terhadap beberapa rakyat Palestin yang menerima rawatan di dalamnya, menurut kenyataan pihak berkuasa tempatan Gaza.

Sepanjang kempen genosid di Gaza, tentera Israel secara sistematik menyasarkan hospital dan sistem penjagaan kesihatan Gaza, menyebabkan kebanyakannya tidak lagi berfungsi dan membahayakan nyawa pesakit serta mereka yang cedera, seperti yang didokumenkan oleh laporan Palestin dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Tentera Israel telah melancarkan serangan ganas terhadap Gaza sejak Oktober 2023, mengakibatkan lebih 53,300 rakyat Palestin terbunuh, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.

-- BERNAMA-ANADOLU


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan