SHAH ALAM, 19 Mei (Bernama) -- Polis Selangor mengesahkan satu laporan yang tular di laman sosial sebuah portal berita dalam talian bertajuk Police Interview Pamela Ling’s Children and Family Friend in Death Investigation adalah palsu.
Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan menerusi kenyataan hari ini mengesahkan tiada apa-apa laporan diterima pihaknya berkaitan penemuan mayat di sebuah rumah di Petaling Jaya seperti yang dinyatakan dalam laporan tular berkenaan.
“Pihak polis menegaskan bahawa menyebarkan berita palsu adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).
“Penggunaan kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian untuk menyebarkan berita palsu yang mengganggu orang lain juga boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM50,000, atau penjara tidak lebih satu tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan,” katanya.
Susulan itu, Hussein mengingatkan masyarakat agar hanya merujuk kepada sumber rasmi dalam mendapatkan maklumat.
“Kerjasama orang ramai dalam mengekang penyebaran berita tidak sahih amat dihargai bagi memastikan ketenteraman serta kelancaran proses siasatan,” katanya.
Pada 9 April lepas, Datin Seri Pamela Ling Yueh, 42, dilaporkan hilang ketika dalam perjalanan ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia di Putrajaya dengan menaiki kereta perkhidmatan e-panggilan.
Laporan polis berhubung kehilangannya diterima pada 3.02 petang hari yang sama.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial