LANGKAWI, 19 Mei (Bernama) -- Lokasi penganjuran Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA) di sini akan diperbesar bagi menampung lebih banyak penyertaan syarikat antarabangsa.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ketika ini, kawasan pameran tersebut khususnya di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) semakin sesak dan tidak dapat memenuhi lebih banyak penyertaan.
“Saya ditaklimatkan oleh Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin sebentar tadi bahawa kawasan itu perlu diperluas supaya berupaya menerima lebih banyak syarikat di peringkat antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian Pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Langkawi di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata pembesaran kawasan pameran itu dijangka turut merangkumi Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LIA).
Beliau berkata meskipun tiada tempoh tertentu diperuntuk, pihak berkaitan termasuk Kementerian Kewangan diharap dapat mengemukakan laporan mengenai perkara itu dalam tempoh dua minggu.
“Sekarang ini baguslah, sambutannya baik tapi tadi ketika diberikan taklimat, ada beberapa negara yang ingin menyertai tetapi kita tidak boleh sambut,” katanya.
Terdahulu, semasa berucap pada majlis itu, Anwar berkata keperluan untuk memperbesar kawasan pameran LIMA dilihat signifikan dalam usaha menjadikan acara tersebut lebih gagah dan lebih hebat pada masa akan datang.
Perdana Menteri juga berkata isu berkaitan perkhidmatan feri ke Langkawi akan dibawa ke Kabinet untuk dibincangkan bagi meningkatkan prasarana tersebut seiring dengan perkembangan pulau legenda itu sebagai destinasi pelancongan.
“Sebab itu saya telah minta Menteri Kewangan II (Datuk Seri Amir Hamzah Azizan) menjadi Pengerusi Bersama Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) supaya ada sedikit lonjakan untuk tingkatkan pembangunan di Langkawi,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial