AM

Nahas FRU: Waris Mangsa Akan Diberikan Kaunseling Berterusan - Noraini

20/05/2025 02:15 PM

IPOH, 20 Mei (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan terus memberi bantuan sokongan emosi kepada sembilan waris anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang terkorban dalam kemalangan di Jalan Chikus-Sungai Lampam,Teluk Intan. 

Timbalan Menteri berkenaan Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata kementerian melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bersedia menawarkan bantuan kaunseling pada bila-bila masa untuk keluarga mangsa. 

"JKM sejak awal lagi sudah berada di lapangan memberi bantuan dari segi kaunseling untuk mendampingi mereka dan keluarga … malah bantuan kewangan awal juga telah disampaikan sebelum ini. 

"Setakat ini, hasil dapatan yang kita terima daripada kaunseling, keluarga waris menunjukkan perkembangan positif, " katanya kepada pemberita selepas menziarah keluarga mangsa di FRU Unit 5, Sungai Senam di sini hari ini. 

Turut hadir Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Perak Jenny Choi Tsi Jen dan Ahli Parlimen Ipoh Timur Howard Lee Chuan How. 

Noraini berkata kementerian turut bersedia menyalurkan sebarang bentuk keperluan sekiranya diperlukan.   

"Begitu juga ahli keluarga yang cedera dan waris yang masih berada di hospital kita tidak lupakan, sudah ada kaunselor ditempatkan untuk adakan lawatan dan ia tidak akan terhenti setakat ini sahaja selagi mana perlu ada perjumpaan tersebut (kauseling) ia terus dilaksanakan," katanya. 

Terdahulu, Noraini melalui Yayasan Kebajikan Negara menyumbang bantuan Skim Pemberian Ehsan Kepada Keluarga Mangsa (PEKA YKN) berjumlah RM1, 000, kepada waris mangsa.  

Nahas jalan raya yang berlaku pada 13 Mei lepas yang membabitkan pertembungan trak FRU dengan lori membawa muatan batu itu turut menyebabkan lima anggota FRU cedera parah manakala empat lagi cedera ringan.

Kenderaan dinaiki 18 anggota termasuk pemandu itu dalam perjalanan pulang ke lpoh selepas selesai melaksanakan penugasan di bawah Op Chariot di Menara Condong Teluk Intan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan